ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia menghadapi ancaman Buriram United yang dijangka tampil dengan serangan pantas dan agresif dalam aksi pembukaan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.
Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, penyerang Buriram United, Guilherme Bissoli antara pemain yang perlu diberi perhatian khusus kerana kelincahan dan kebolehannya mencari ruang mampu mengancam benteng Harimau Selatan.
Menurutnya, Bissoli bukan pemain asing bagi JDT selepas mereka pernah berdepan penyerang import kelab Thailand itu dalam pertemuan sebelum ini.
“Bissoli bukanlah pemain yang asing bagi kami setelah berdepan dengan kelicikan pemain tersebut sebelum ini. Bukan mudah untuk merantainya, namun kami perlu membataskan pergerakannya.
“Seperti kebiasaan, JDT perlu tampil dengan aksi agresif dan memberikan tekanan tinggi terhadap lawan. Kami tidak boleh memberikan ruang kepada Buriram United untuk mengatur gerakan,” katanya.
Dalam pada itu, pemain pertahanan JDT, Eddy Israfilov berkata, skuad Harimau Selatan sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi juara Liga Thailand tersebut.
Katanya, persiapan sepanjang pramusim di Sepanyol memberikan pendedahan kepada pemain mengenai corak permainan berintensiti tinggi, sekali gus membantu mereka lebih bersedia menghadapi saingan di peringkat Asia.
“Sekarang tumpuan kami terarah sepenuhnya kepada aksi pertama menentang juara Liga Thailand itu. Rekod pertemuan membuktikan mereka adalah lawan yang sukar untuk ditewaskan.
“Justeru, kami perlu membuat persiapan rapi untuk mendapatkan keputusan positif. Tidak dinafikan Buriram United merupakan pasukan yang baik dan memiliki barisan pemain berkualiti,” katanya.
Israfilov berkata, barisan pertahanan JDT tidak boleh melakukan kesilapan mudah kerana Buriram United memiliki pemain yang mampu menghukum setiap ruang yang diberikan.
“Kami sudah bersedia dengan apa jua situasi di atas padang khususnya ketika mereka melakukan serangan balas pantas.
“Selaku pemain pertahanan, kami tidak boleh leka dan melakukan kesilapan mudah kerana mereka bijak menghidu peluang,” katanya.
Mengulas mengenai gandingannya bersama Kevin Medina, Israfilov berkata, mereka berjaya membentuk keserasian baik selepas semakin memahami pergerakan dan corak permainan masing-masing.
Katanya, momentum kemenangan yang diraih JDT dalam saingan Liga Malaysia musim ini turut membantu memperkemaskan corak permainan serta meningkatkan keyakinan pasukan menjelang aksi ACLE. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
4









![[VIDEO] ‘Sampai karpet kena tukar, bau tidak tahu macam mana’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b7bf61f8-05e6-4d75-bd48-132f75d6f8d1.jpeg)


































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




