LIVERPOOL – Penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin mengesahkan akan meninggalkan kelab itu apabila kontraknya berakhir esok selepas sembilan tahun menyarung jersi The Toffees.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai Everton dari Sheffield United pada 2016 dengan yuran perpindahan sekitar £1.5 juta (RM8.1 juta) dan kini meninggalkan kelab itu sebagai penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah pasukan di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Karier Calvert-Lewin di Goodison Park banyak terjejas akibat kecederaan, namun tetap dikenang sebagai wira ketika menjaringkan gol kemenangan menentang Crystal Palace musim 2021/22 yang memastikan Everton tidak tersingkir daripada EPL.
“Selepas sembilan tahun yang luar biasa, saya telah membuat keputusan yang sangat sukar bersama keluarga untuk memulakan lembaran baharu dalam karier saya. Everton telah menjadi rumah saya sejak saya berusia 19 tahun,” katanya.
Difahamkan, beberapa kelab termasuk Leeds United dan Newcastle United dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya secara percuma apabila kontraknya tamat secara rasmi esok.
Everton kini giat mencari pengganti sepadan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Calvert-Lewin dengan penyerang muda Villarreal, Thierno Barry menjadi sasaran utama kelab Merseyside itu.
Pemain antarabangsa Perancis bawah 21 tahun (B-21) itu mencipta impak besar bersama Villarreal musim lalu apabila meledak 19 gol dalam semua kejohanan.
Menurut laporan TEAMtalk, Everton telah pun memulakan rundingan dengan Villarreal bagi membawa Barry ke EPL, namun kelab Sepanyol itu hanya bersedia menjual jika klausa pelepasan €40 juta (RM203 juta) dibayar.
Pengarah Sukan Villarreal, Fernando Roig Nogueroles menegaskan bahawa Barry hanya akan dilepaskan sekiranya terdapat tawaran yang sepadan atau hampir dengan klausa tersebut.
“Kami mahukan pemain itu kekal. Jika dia pergi, ia mesti disebabkan klausa pelepasan atau tawaran yang sangat dekat dengannya. Jika tidak, dia tidak akan pergi,” katanya.
Walaupun Villarreal menegaskan tiada bukti kukuh mengenai perpindahan itu, sumber dalaman TEAMtalk mendedahkan rundingan antara kedua-dua kelab sedang berjalan dan dijangka dipergiatkan dalam beberapa hari akan datang. – AGENSI