‘Buang masa, duit, dah saman netizen menangis minta maaf’

8 hours ago 4

PUTRAJAYA – Lantang menyuarakan pendiriannya terhadap budaya kecaman yang semakin berleluasa di gelanggang media sosial, pengacara Zulin Aziz menyifatkan platform digital kini ibarat medan terbuka untuk orang ramai mengumpat sesuka hati tanpa memikirkan kesan terhadap maruah seseorang artis.

Menurut Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, 35, ramai individu kini seolah-olah bebas menjatuhkan maruah orang lain, sebagaimana yang berlaku kepada pengacara Uyaina Arshad baru-baru ini yang menjadi sasaran netizen selepas mengacarakan program Wanita Hari ini.

“Sekarang ini ada platform untuk mengumpat orang. Kita pula yang baca dan dengar, memang sakit hati. Saya setuju dengan tindakan Uyaina. Kita tak boleh kawal media sosial, jadi bila ada benda yang melampau, langkah undang-undang itu tepat.

“Saya sendiri pernah kena, jadi saya faham sangat perasaan bila jadi sasaran netizen. Kadang-kadang mereka cakap ikut sedap mulut tanpa fikir kesan jangka panjang terhadap emosi dan kerjaya kita sebagai artis,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk kosmetik Lavvanya, kolaborasi bersama Myeongdong Topokki di IOI City Mall, semalam.

Zulin turut mendedahkan pernah mengambil tindakan undang-undang sebanyak tiga kali terhadap individu yang memfitnah dan memburukkannya secara terbuka di media sosial, namun kesemua kes tersebut berakhir dengan permohonan maaf kerana mereka tidak mampu membayar ganti rugi.

“Saya pernah bayar peguam untuk tiga kes berbeza. Tapi akhirnya mereka semua minta maaf sebab tak mampu bayar. Bila dah keluarkan saman, mereka menangis dan mohon maaf secara terbuka. Kita ni pula yang kena keluarkan duit dan masa.

“Kalau sampai gosip menjejaskan periuk nasi, pelanggan akan tarik balik kerjasama. Jadi kita kena jaga nama baik. Selagi tak sentuh isu keluarga atau maruah, kita boleh maafkan. Tapi kalau dah keterlaluan, tindakan perlu diambil,” jelas pelakon From Saga With Love itu.

Zulin turut meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir netizen yang gemar menjadikan media sosial sebagai tempat untuk memburukkan orang lain secara terbuka tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap mangsa.

“Kalau nak mengumpat sangat, tak ada WhatsApp ke? Masuklah grup, sembang dengan kawan-kawan sendiri. Ini tidak, pergi bercakap di platform X dengan orang yang tak dikenali dan percaya bulat-bulat pula. Tak logik langsung,” ujarnya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini, Zulin kini dalam fasa berehat selepas selesai menjalani penggambaran di tiga lokasi berbeza iaitu Melaka, Perlis dan Mersing, dan buat masa ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaannya yang berasaskan barangan wanita sebelum kembali aktif di layar kaca tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |