PETALING JAYA – Kementerian Luar Negeri (KLN) setakat ini belum menerima sebarang maklumat yang menunjukkan rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kehilangan kapal penumpang Virgo Transport 8 di Laut Jawa, Indonesia.
KLN berkata, pihaknya sedang memantau laporan berhubung kehilangan kapal berkenaan selain berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan senarai rasmi penumpang.
“Pada peringkat awal ini, kementerian belum menerima sebarang maklumat yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tersebut.
“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan maklumat penumpang serta mendapatkan perkembangan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Virgo Transport 8 yang membawa 243 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang awal pagi tadi ketika dalam pelayaran dari Surabaya, Jawa Timur menuju Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Banjarmasin, I Putu Sudayana dilaporkan berkata, pihaknya menerima makluman kehilangan kapal itu pada pukul 4.10 pagi selepas hubungan komunikasi terputus kira-kira pukul 2 pagi ketika cuaca buruk di Laut Jawa.
Kapal berkenaan berlepas dari Surabaya semalam dan kedudukan terakhirnya diketahui kira-kira 80 batu nautika dari pangkalan SAR di Banjarmasin.
Sebuah helikopter dan dua kapal penyelamat telah dikerahkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR), yang turut melibatkan tentera dan polis Indonesia serta pihak berkuasa pelabuhan Banjarmasin.
Dalam pada itu, KLN menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Indonesia supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia turut digalakkan mendaftar serta mengemas kini maklumat hubungan menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi dan bantuan konsular sekiranya diperlukan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian +62 21 522 4947 atau talian kecemasan selepas waktu pejabat di +62 813 8081 3036.
KLN berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan insiden berkenaan dan menyalurkan maklumat lanjut selepas mendapat pengesahan. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
18










![[VIDEO] ‘Sampai karpet kena tukar, bau tidak tahu macam mana’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b7bf61f8-05e6-4d75-bd48-132f75d6f8d1.jpeg)

































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




