KOTA BHARU – Seorang bekas kerani sebuah syarikat bas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan melakukan pecah amanah dengan tidak menyerahkan wang jualan tiket sebanyak lebih RM114,630 pada 10 tahun lalu.
Tertuduh, Bibi Kasiran Mohamad, 50, yang kini bekerja sebagai pembantu kedai menjual kuih bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan kerani jualan tiket bas didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak menyerahkan wang berjumlah keseluruhan RM114,630.80 kepada syarikat di kaunter tiket di Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh di sini antara Januari sehingga Oktober 2015.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih daripada 14 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Khairul Azwan Azhan.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 untuk kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Muhammad Khairul Azwan dalam rayuannya memohon ikat jamin tersebut dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu di kedai menjual kuih dengan pendapatan harian sebanyak RM45 selain perlu menjaga ibu bapa yang uzur.
“Suami tertuduh sudah meninggal dunia pada tahun lalu dan anak guam saya juga tiada sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 untuk kesemua pertuduhan selain menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE