Barbarik ‘meledak’, hampir 3,000 penonton penuhi Zepp KL

7 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock, Barbarik tidak menyangka konsert Pentas Peluru Cokelat yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam tadi mendapat sambutan hangat apabila dihadiri lebih 2,700 penonton.

Menurut gitaris Barbarik, JoBranko atau nama sebenar Abdul Zamin Abdul Kadir, 56, konsert yang sepatutnya bermula pada 8.45 malam itu bermula 15 minit lewat untuk memberi laluan kepada peminat yang masih beratur untuk memasuki ke premis konsert.

“Sebenarnya kami terkejut kerana dalam keadaan sekarang yang ada banyak konsert serentak, peminat masih hadir memberi sokongan untuk konsert rock.

“Secara keseluruhan kami semua gembira kerana persembahan berjalan seperti yang dirancang dan penonton juga ‘enjoy’ dengan apa yang kami berikan di atas pentas,” ujar JoBranko dalam sidang media usai konsert berakhir.

Dalam konsert selama tiga jam itu, Barbarik yang turut dianggotai olh Ainoll (dram) dan Rozaimie (gitar) dilihat konsisten bukan sahaja daripada kualiti muzik dan bunyi tetapi juga vokal Muss yang berada ditahap terbaik.

Muss atau nama sebenarnya, Mustaffa Din, 57 berkata, latihan selama tiga bulan berbaloi apabila melihat penonton terhibur dengan persembahan Barbarik.

“Saya sendiri tidak berapa sihat sebelum konsert, mulanya risau juga tetapi syukur ketika di atas pentas vokal saya tidak terganggu.

“Disebabkan terlampau seronok, itu yang tiba-tiba JoBranko mahu belanja lagu terakhir yang memang langsung tiada dalam perancangan iaitu lagu Keris Tak Bersarung.

“Bukan sahaja kejutan buat peminat, tetapi kami juga (ketawa). Masa itu muka saya, Ainol (drum) dan Rozaimi (gitar) sudah pucat lesi sebab masing-masing sudah ‘bungkus’ hendak turun pentas. Tetapi inilah elemen kejutan yang memang ada dalam setiap konsert,” tutur Muss.

Dalam konsert Pentas Peluru Cokelat, Barbarik membawa 22 lagu termasuk rangkaian lagu daripada album sulung mereka iaitu Nasib Baik, Marcapada, Peluru Cokelat, Didakap Pesona dan Kasmaran Selamanya.

Antara momen mencuri perhatian adalah segmen Retrostika yang menampilkan lagu-lagu seperti Sketsa Sebuah Cinta, Potret Monalisa, Cintamu Mekar Dihati dan Taman Rashidah Utama.

Istimewa menerusi segmen itu apabila diserikan dengan kemunculan gitaris jemputan seperti Shah Slam, Muzza dan Ujang Tukimon, manakala Karl Cromok pula berduet menerusi lagu Golok Kayu serta Jerangkung Dalam Almari. -KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |