KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi jaminan kemelut berhubung isu kontrak beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah akan diselesaikan sebelum kejohanan Terbuka Jepun yang bermula 15 Julai ini.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan, beliau sudah pun mengadakan perbincangan bersama pasangan tersebut dengan kedua-dua pemain bersetuju dengan garis masa yang diberikan.
Beliau turut memberi gambaran bahawa perbincangan yang dibuat adalah positif selain berharap kemelut itu dapat ditamatkan bagi membolehkan pemain-pemain memberi sepenuh fokus terhadap kejohanan akan datang.
“Saya ada bertemu dengan Pearly dan Thinaah tadi. Kami bertiga sudah berbincang secara terbuka dan bersetuju bahawa mereka akan terus memainkan peranan penting dalam sukan badminton negara.

“Mereka bersetuju bahawa kita perlu memuktamadkan perbincangan (kontrak) ini supaya dapat fokus kepada kejohanan-kejohanan akan datang, terutamanya Terbuka Jepun, Terbuka China dan Kejohanan Dunia.
“Tinggal satu atau dua isu sahaja lagi perlu diselesaikan. Saya juga sudah menetapkan untuk buat pengumuman (kontrak) sebelum Terbuka Jepun dan mereka juga bersetuju,” katanya ketika sidang akhbar selepas sesi libat urus di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Terdahulu, Pearly-Thinaah menjadi perhatian selepas kedua-dua pemain itu masih belum menandatangani kontrak baharu selepas kontrak sedia ada tamat pada Disember tahun lalu sehingga menimbulkan persoalan mengenai masa depan mereka di BAM.
Sementara itu, Zafrul turut berkata, pihaknya perlu membuat penilaian terhadap kedua-dua pemain berkenaan berdasarkan sumbangan yang diberikan dan sedia memberikan ganjaran setimpal dengan pencapaian.
“Dalam rundingan kontrak, sentiasa ada perbincangan. Bagi saya, amat penting untuk menilai mereka sebaiknya, terutamanya dari segi sumbangan. Sekiranya mereka ada pencapaian yang baik, maka kita perlu beri lebih ganjaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE