ATM ajak kaum bukan Melayu jadi tentera

7 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalu-alukan lebih ramai penyertaan kaum bukan Melayu untuk menceburi bidang ketenteraan sebagai laluan kerjaya mereka.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, melalui ketenteraan, mereka akan merasai erti profesionalisme sebenar ditambah lagi cabaran bakal dilalui sekiranya menyertai ATM.

“Saya seru kaum lain sertai ATM. Cabaran bermula di sini dan kamu dapat rasakan erti profesionalisme sebenarnya.

“Justeru saya menyeru untuk lihat ATM sebagai salah satu peluang kerjaya terbuka untuk mereka menceburi kerana kita juga satu bidang profesional jauh berbeza dengan bidang lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, berlangsung Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATMdi Kem Perdana, Sungai Besi di sini yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Mohd. Nizam berkata, seramai 509 Pegawai Kadet ditauliahkan hari ini dan daripada jumlah tersebut, kaum Melayu masih menjadi majoriti terbesar seramai 496 orang, diikuti India (14), Cina (8) serta lain-lain termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak (20).

Yang di-Pertuan Agong hari ini berkenan bercemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja serta Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM Tahun 2025 di Dataran Panglima TenteraDarat, Kem Perdana Sungai Besi.

Istiadat ini diadakan sebagai pengiktirafan rasmi kepada Pegawai Kadet ATM yang telah menamatkan latihan ketenteraan masing-masing dengan jayanya, sekali
gus menandakan permulaan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai Pegawai Muda dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Ia juga bertujuan menzahirkan komitmen ATM dalam melahirkan kepimpinan tentera yang berwibawa, berdisiplin dan berintegriti tinggi demi mempertahankan kedaulatan Negara.

Istiadat Perbarisan ini melibatkan seramai 509 Pegawai Kadet ATM dan diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Fazril Azimbin Shaharuddin.

Turut diadakan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat dan Piala Khas kepada tujuh Pegawai Kadet Terbaik mewakili institusi latihan masing-masing iaitu Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Akademi TenteraDarat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI I), serta Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai (KTU – SLP). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |