Aksi mendebarkan persembahan udara buka tirai LIMA’25

10 hours ago 3

LANGKAWI – Deruman 25 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melakukan aksi mendebarkan disusuli letupan dengan asap dan api menjulang tinggi menandakan pembukaan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).

LIMA edisi ke-17 dengan tema Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

Pembukaan pameran berprestij yang berlangsung di kawasan tarmac Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof hadir menyaksikan majlis itu.

Turut menyaksikan ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Datuk Mohd. Nizam Jaffar.

ANWAR (tengah) merasmikan pembukaan LIMA’25 di kawasan tarmac MIEC di Langkawi, hari ini. – Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

Dalam persembahan pembukaan itu, kecekapan juruterbang membuat aksi terbang rendah dan formasi menarik memukau ribuan penonton yang hadir.

Antara pesawat terlibat ialah jet pejuang jenis Sukhoi Su-30MKM sebanyak tiga unit, F/A-18D Hornet (3), serta pesawat pengangkut iaitu A400M (2) dan C130H (3).

Pesawat lain ialah helikopter jenis EC-725 (2), AW-139 (3) dan EC 120B (3), di samping PC7MKII (6).

AKSI mendebarkan F/A-18D Hornet pada Majlis Pembukaan LIMA’25 di ruang udara Langkawi, hari ini. – Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

Seorang pengunjung, Mohd Samsulnizam Mohammad Mokhtar, 52, berkata, persembahan sempena pembukaan LIMA’25 sangat menarik dan dia teruja melihat aksi dan deruman jet yang kuat.

“Ada pergerakan helikopter seperti menari di ruang udara yang membuatkan saya rasa kagum dengan kehebatan juruterbang yang mengendalikannya.

“Seterusnya kehadiran pesawat jenis Hornet dan Sukhoi SU-30MKM dengan kelajuan tinggi disusuli letupan dan asap serta api menjulang mengejutkan semua orang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |