Zambry ucap takziah pemergian bekas penjaga gol Pulau Pinang

13 hours ago 6

PETALING JAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menzahirkan ucapan takziah buat keluarga bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohamed yang meninggal dunia ketika menentang legenda Kedah, malam tadi.

Beliau yang turut hadir pada perlawanan empat penjuru sempena Piala Dr Zambry Abd Kadir yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu pada mulanya kagum dengan sokongan orang ramai serta legenda bola sepak daripada keempat-empat pasukan terlibat.

“Kejohanan turut diserikan dengan kehadiran ramai lagenda bola sepak dari keempat-empat pasukan. Namun di sebalik kegembiraan tersebut, kita dikejutkan dengan satu insiden yang amat menyayat hati. Penjaga gol legenda Pulau Pinang, saudara Firos Mohamad, tiba-tiba rebah di tengah padang dan disahkan meninggal dunia.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Firos Mohamed. Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini. Sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, beliau bergegas ke hospital sebaik menerima berita pemergian arwah Firos bagi menyalurkan ucapan takziah selain menyifatkan ia merupakan kehilangan yang besar terhadap dunia sukan tanah air.

“Saya bergegas ke hospital sebaik menerima perkhabaran duka ini dan berkesempatan menemui keluarga Allahyarham untuk menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sedikit kekuatan dan sokongan moral kepada mereka yang sedang diuji.

“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga beliau, tetapi juga kepada seluruh komuniti bola sepak negara. Allahyarham dikenali sebagai seorang yang bersemangat tinggi, komited serta sentiasa memberi yang terbaik dalam arena bola sepak tanah air,” ujar Zambry.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Arena bola sepak negara dikejutkan apabila bekas penjaga gol legenda Pulau Pinang, Firos Mohamed meninggal dunia pada pukul 10.15 malam tadi.

Allahyarham dilaporkan rebah ketika sedang beraksi dalam perlawanan membabitkan legenda Pulau Pinang menentang legenda Kedah sempena perlawanan empat penjuru Piala Dr Zambry Abd Kadir yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |