Yang boikot hanya empat orang, lainnya sokong – M. Nasir

2 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Maestro muzik, Datuk M. Nasir memilih untuk tidak mengendahkan skeptikal segelintir pihak yang mahu memboikot teater arahannya, Mansur & Liu susulan pemilihan Aliff Aziz membawa peranan utama.

M. Nasir atau nama lengkapnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, 69, turut menegaskan, pemilihan sesebuah watak dibuat berdasarkan kualiti bakat yang dimiliki seseorang.

“Yang nak boikot itu adalah dalam empat orang, yang lain itu sokong. Kita kena pandang pada bakat dan bukan kita suka-suka saja pilih.

“Setelah ambik kira dengan macam-macam dan saya dapati saya pun sebenarnya baru kenal. Bagi saya, dia memang cocok dengan peranan itu,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media konsert Magnum Opus M. Nasir dekad ke-5, di Istana Budaya, hari ini.

Konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 akan diadakan pada 5 Disember 2026 pukul 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Persembahan istimewa tersebut meraikan perjalanan seni legenda itu selama lima dekad dengan menampilkan kira-kira 30 karya ikonik bersentuhan simfoni.

Mengulas lanjut tentang pemilihan Aliff sebagai teraju utama, tambah pelantun lagu Apokalips itu, beliau lebih tertarik untuk bekerjasama dengan mana-mana penggiat seni yang komited dan bekerja keras.

“Saya suka pada orang yang bekerja bersungguh-sungguh. Selalunya hidup ini kita berdepan dengan pilihan.

“Jadi, selalunya pilihan selalu memberi kita tekanan tapi saya harap saya boleh menghadapi perkara itu semua dengan fikiran rasional,” katanya lagi.

Sebelum ini, M.Nasir selaku pengarah mengumumkan bakal mengadakan pementasan teater Muzikal Mansur & Liu.

Pada masa sama, pengumuman tersebut sekali gus mengumumkan Aliff Aziz sebagai watak Sultan Mansur Shah bergandingan dengan Melinda Dadew sebagai Liu.

Namun, pelbagai pandangan yang dilemparkan selepas pengumuman Aliff sebagai watak utama susulan kontroversi yang pernah membabitkannya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |