640 pegawai, anggota AKPS ditempatkan di ICQ Bukit Cagar

6 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Seramai 640 pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan ditempatkan di Kompleks Bersepadu Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Bukit Cagar bagi persediaan operasi Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penempatan itu akan bermula pada Oktober selepas lebih 400 pelatih menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada penghujung September.

Menurutnya, pegawai dan anggota berkenaan akan menjalani program suai kenal serta simulasi di ICQ Bukit Cagar sepanjang Oktober hingga Disember.

“Dalam tempoh tiga bulan itu, kita akan melihat aliran penumpang, membuat simulasi dan membiasakan anggota dengan sistem serta bangunan ini.

“Kita juga akan menguji kekerapan dan konsistensi perkhidmatan kereta api termasuk kestabilan mesin seperti mesin pengimbas dan sistem berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Tinjauan Progres RTS Link Johor Bahru-Singapura di ICQ Bukit Cagar, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyempurnakan pra-perasmian pejabat AKPS di ICQ Bukit Cagar.

Mohd Shuhaily berkata, AKPS kini mempunyai lebih 400 anggota yang sedang menjalani latihan daripada jumlah keseluruhan 640 jawatan yang diluluskan bagi agensi berkenaan.

Katanya, latihan anggota AKPS perlu lebih menyeluruh berikutan agensi itu menggabungkan fungsi enam agensi penguat kuasaan di bawah satu entiti.

“Dulu enam agensi menjalankan enam perkara yang berbeza, tetapi sekarang semuanya berada di bawah satu agensi. Jadi latihan yang perlu kita buat sepatutnya lebih ekstensif.

“Disiplin juga merupakan perkara yang sangat penting kerana misi adalah misi dan disiplin perlu diterapkan,”katanya.

Menurutnya, kemudahan ICQ Bukit Cagar merupakan fasiliti baharu yang menggabungkan enam agensi di bawah satu hab bagi melancarkan urusan kawalan sempadan.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, AKPS turut mempunyai pelan sandaran sekiranya berlaku gangguan terhadap sistem digital yang digunakan di fasiliti berkenaan.

Katanya, sistem manual akan digunakan sekiranya berlaku kegagalan sistem bagi memastikan operasi kawalan sempadan dapat diteruskan.

“Sistem biasanya bagus tetapi Murphy’s Law sentiasa ada. Kalau sistem tergendala, kita kembali kepada sistem manual.

“Sebab itu kita perlukan tenaga manusia. Manpower sentiasa diperlukan untuk mengurangkan risiko dalam keadaan sebegitu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |