PETALING JAYA – Sebanyak 2,115 karton rokok tidak bercukai Kastam bernilai RM1.49 juta dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.
Serbuan menerusi Op Taring Alpha 1 itu dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Bahagian Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman antara pukul 12 tengah hari hingga 1.30 petang.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, serbuan pertama di Desa Petaling membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok dan penjaga stor.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan 553 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM378,160 selain sebuah Toyota Rush dan dua telefon bimbit disita.
“Serbuan kedua di sekitar Desa Petaling pula menahan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok.
“Sebanyak 372 karton rokok bernilai RM310,112 ditemukan bersama sebuah Perodua Alza dan tiga telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil soal siasat suspek pertama membawa pasukan operasi ke sebuah premis di Putra Heights, Subang Jaya yang dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara rokok tidak bercukai.
Beliau berkata, serbuan ketiga menemukan 1,190 karton rokok bernilai RM811,580, sekali gus menjadikan keseluruhan nilai rokok dirampas RM1,499,852.
“Nilai keseluruhan sitaan dan rampasan termasuk dua kenderaan serta lima telefon bimbit adalah RM1,661,352,” katanya.
Mohd. Zaki berkata, siasatan awal mendapati suspek pertama dipercayai terbabit sebagai penghantar rokok kira-kira enam bulan, manakala suspek kedua menjalankan kegiatan sama selama sembilan bulan.
“Premis yang diserbu dipercayai berfungsi sebagai lokasi penyimpanan sementara sebelum bekalan rokok diedarkan ke premis-premis sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan berkaitan, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah merekodkan 13 kes dengan 17 tangkapan menerusi Op Taring Alpha 1, membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM9.6 juta.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 17 Ogos 2026 pula, sebanyak 240 serbuan dijalankan di seluruh negara dengan 413 individu ditahan, manakala keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM314.18 juta. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
9













































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)


