PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia berkongsi pengalaman cemas bersama suami dan dua anak apabila berdepan gempa bumi kuat ketika berada di tingkat lima sebuah hotel menghadap laut di Labuan Bajo, Indonesia, Sabtu lalu.
Saidatina Afifah Menan, 35, berkata, dia dan keluarganya tiba di Labuan Bajo pada Khamis lalu dan dijadualkan pulang hari ini.
Katanya, pada pagi kejadian, mereka sedang bersiap untuk mengemas barang dan mendaftar keluar dari hotel sebelum dijemput ejen kira-kira pukul 6.30 pagi bagi mengikuti aktiviti pelayaran ke Pulau Padar.
“Tiba-tiba bekalan elektrik di hotel terputus sebelum gegaran berlaku, namun pada mulanya kami menyangka ia hanya gangguan elektrik biasa.
“Kira-kira pukul 6.10 atau 6.15 pagi, tiba-tiba terasa gegaran sangat kuat. Bangunan bergoyang ke kiri dan kanan, lampu turut berayun, manakala badan saya sendiri terasa terhuyung-hayang.
“Gegaran itu mungkin hanya sekitar lima atau enam saat, tetapi ketika itu terasa sangat lama dan amat menakutkan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Selepas gegaran berhenti, Saidatina Afifah bersama keluarganya segera keluar dari bilik sebelum mengambil barang dan turun ke tingkat bawah bersama pelancong lain.
Saidatina Afifah bersama keluarganya di Taman Nasional Komodo, Labuan Bajo, sebelum gempa bumi berlaku pada Sabtu lalu.Menurutnya, mereka hanya mengetahui gempa bumi berlaku selepas dimaklumkan pihak pengurusan hotel.
Katanya, gegaran susulan turut dirasai ketika mereka berada di lobi hotel, namun tidak sekuat gegaran pertama.
“Semua aktiviti pelayaran pada waktu pagi dibatalkan, manakala bekalan elektrik dan talian telefon terputus sementara ketika itu.
“Hotel kami ada balkoni besar menghadap pantai. Kami nampak ramai orang mula bergerak menjauhi kawasan laut dan menuju ke darat selepas ada amaran tsunami,” katanya.
Bagaimanapun, Saidatina Afifah dan keluarganya mengambil keputusan untuk kekal di Labuan Bajo sehingga tarikh penerbangan asal mereka selepas yakin keadaan akan kembali selamat.
“Ini kali pertama kami sampai di Labuan Bajo dan kali pertama juga merasa gempa sekuat ini. Penduduk tempatan turut berkongsi dengan kami bahawa mereka lihat laut surut sebanyak tiga kali sebelum kejadian.
“Itu apa yang diceritakan kepada kami. Sampai ke hari ini kami di sini, masih kekal terasa gegaran kecil,” katanya.
Berdasarkan kenyataan rasmi Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, gempa bermagnitud 7.7 melanda wilayah Flores pada pukul 4.58 pagi waktu Indonesia Barat (WIB), bersamaan kira-kira pukul 5.58 pagi waktu tempatan Labuan Bajo, pada 15 Ogos lalu.
Gempa berkedalaman 15 kilometer itu berpusat di laut kira-kira 30 kilometer timur laut Nagekeo, Nusa Tenggara Timur.
BMKG turut merekodkan gelombang tsunami setinggi 0.36 meter di Labuan Bajo sebelum amaran awal tsunami ditamatkan pada pukul 7.30 pagi WIB.
Agensi tersebut turut mencatat 235 gempa susulan hingga pukul 2 petang WIB pada hari sama dengan magnitud antara 2.5 sehingga 6.2.

2 hours ago
2













































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)


