KEPUTUSAN untuk ‘berhijrah’ meninggalkan kontinjen Johor untuk mewakili Perlis memberi tuah buat atlet tenpin boling, Nurul Aisyah Salleh selepas menghadiahkan pingat emas pada acara perseorangan wanita Sukan Malaysia (Sukma) 2026 semalam.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas Aisyah melalui perjalanan penuh liku termasuk terpaksa berehat daripada arena kompetitif kerana memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Aisyah sebelum ini mewakili Johor pada dua edisi SUKMA 2022 dan 2024, namun penyertaannya pada edisi kali ini pada awalnya hampir tidak menjadi kenyataan susulan kecederaan pinggul yang dialami.
“Tahun lepas saya ambil SPM, jadi saya terpaksa berhenti agak lama dan tidak dapat bermain untuk Johor.
“Selepas itu, saya mendapat tawaran daripada bekas jurulatih saya di Johor yang ketika itu sudah menjadi ketua jurulatih Perlis. Dia tawarkan saya untuk bermain bersama Perlis,” kata atlet berusia 18 tahun itu.
Peluang berkenaan disifatkan Aisyah sebagai pembuka jalan untuknya kembali beraksi di temasya sukan berprestij tempatan, selain menjadi peluang terbaik untuk memburu semula kilauan pingat yang pernah dirasainya pada penampilan sulung.
“Terima kasih kepada jurulatih dan MSN Perlis kerana memberikan saya peluang untuk bermain dengan pasukan Perlis. Sebenarnya, saya ingat saya tak dapat bermain di Sukma kerana bergelut dengan kecederaan.
“Justeru, kemenangan ini memang cukup memberi emosi buat saya dan keluarga,” katanya.
Pada penampilan pertamanya di Sukma, Aisyah pernah meraih pingat gangsa dalam acara beregu tetapi gagal meraih sebarang pingat pada edisi 2024 di Sarawak.
Pada aksi di Sunway Megalanes itu, Aisyah menjatuhkan 1344 pin untuk menewaskan pencabar terdekat, Adania Mohd Redzwan dari Selangor (1306 pin) yang meraih perak dan rakan senegeri, Nur Alya Qaisara (1287 pin) melengkapkan kedudukan podium.

2 hours ago
2













































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)


