Tak mampu bayar yuran, Iyad hampir terlepas peperiksaan

14 hours ago 9

PETALING JAYA – Impian seorang anak yatim piatu untuk menamatkan pengajian hampir terhenti apabila dia tidak mampu menjelaskan yuran Semester 1, sekali gus menyebabkan dia berdepan risiko tidak dapat menduduki peperiksaan akhir.

Muhamad Iyad Addian, 20-an, berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang Sports Management di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Bangi.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau menerima makluman mengenai nasib pemuda itu daripada seorang aktivis masyarakat, Kak Lah sebelum memanggil pelajar berkenaan untuk bertemu dan mendengar sendiri cabaran yang dihadapinya.

“Seawal usia 16 tahun, adik Iyad kehilangan ibu pada Januari 2021 akibat komplikasi kencing manis dan masalah buah pinggang. Enam bulan kemudian, ayahnya pula meninggal dunia akibat penyakit kencing manis,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022, Muhamad Iyad terpaksa menangguhkan pengajian kerana kekangan kewangan.

Katanya, pemuda itu kemudian bekerja di kedai makan selama hampir dua tahun sambil mengumpul wang sedikit demi sedikit sebelum akhirnya berjaya menyambung pengajian.

“Saya cukup kagum dengan semangatnya. Dalam keadaan kehilangan ibu dan ayah, dia tetap berusaha mencari jalan untuk meneruskan pelajaran.

“Beliau juga kerja sambilan di kedai makan, sekitar Bangi untuk menampung kehidupan termasuk kos makan dan minum harian. Walaupun dalam serba kekurangan, beliau tetap berdikari untuk teruskan kehidupan,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, Muahamad Iyad belum layak menerima pinjaman Mara berikutan syarat dasar semasa berkaitan keputusan SPM, sekali gus menyebabkan dia berdepan kesukaran untuk menjelaskan yuran pengajian.

Bagaimanapun, perkembangan positif hadir selepas Asyraf Wajdi mengambil tindakan menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KPTM bagi mendapatkan pelepasan yuran supaya Muhamad Iyad dapat menduduki peperiksaan berkenaan.

“InsyaAllah, saya terus menghubungi CEO KPTM untuk beri pelepasan yuran untuk adik ini menduduki ujian. InsyaAllah jika keputusannya baik, Mara akan memberikan pembiayaan penuh sehingga dia tamat belajar,” katanya.

Malah, Asyraf Wajdi turut menawarkan diri untuk mengambil pemuda itu sebagai anak angkat dan berjanji membantunya sehingga tamat pengajian.

“Saya pesan pada Iyad bahawa hanya dengan ilmu boleh merubah kehidupan beliau masa depan, dengan izin Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |