Peserta konvoi perlu hormati undang-undang Thailand

5 hours ago 5

SUNGAI PETANI – Rakyat Malaysia yang menyertai konvoi motosikal ke Thailand dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang negara itu termasuk memastikan kenderaan mengikut peraturan dan spesifikasi ditetapkan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan sebarang masalah dengan pihak berkuasa negara berkenaan, terutama membabitkan pengubahsuaian motosikal dan penggunaan komponen yang tidak dibenarkan.

“Kalau kita nak ride apa lagi di negara luar, yang pertamanya kita mesti mematuhi undang-undang tempatan di situ. Saya percaya undang-undang di negara jiran ini tidak jauh berbeza dengan kita,” katanya pada Program Amal Konvoi Charity Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbiker’s Club sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka ke-69 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Kata beliau, aspek lesen serta spesifikasi dan komponen pada motosikal yang mendapat kelulusan perlu diberi perhatian oleh penunggang sebelum melakukan perjalanan ke luar negara.

“Jadi nasihat saya kalau kita nak buat konvoi, ia perlu diuruskan secara betul dan lebih penting sekali, kita kena hormati undang-undang di negara yang berkenaan. Kita tak boleh suka-suka nak masuk macam itu, kita kena hormat peraturan tempatan,” ujarnya.

Menurutnya, pihak polis juga menjalankan operasi sitaan terhadap motosikal yang menggunakan komponen tidak dibenarkan termasuk ekzos, brek dan tayar yang tidak menepati spesifikasi.

Mengulas dakwaan rakyat Malaysia ditahan dan disaman pihak berkuasa negara jiran baru-baru ini, beliau berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang ulasan kerana perkara berkenaan sedang disiasat pihak berkuasa negara tersebut.

“Kalau yang ditahan rakyat kita dan daripada dakwaan (kesalahan) yang tidak berlaku, saya tak boleh komen sebab yang siasat dan tahan ini adalah mereka (pihak berkuasa negara jiran). Biarlah mereka teruskan siasatan. Kita pun ada saluran tertentu, mungkin antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) tetapi kita kena hormat pihak berkuasa di sana,” jelasnya.

Sementara itu, kata beliau, pihak polis sendiri akan memanggil mana-mana penganjur yang membuat permohonan untuk membuat konvoi bagi mendapatkan maklumat berkaitan jumlah motosikal, laluan dan aspek keselamatan bagi memastikan perjalanan berlangsung dengan teratur.

“Pastikan perkara-perkara ini wajib dipatuhi. Motosikal yang digunakan mesti mengikut spesifikasi, ada lesen memandu, cukai jalan dan pemakaian topi keledar, itu penting,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki dikenali sebagai Tok Singa menerusi hantarannya di Facebook mendakwa dia bersama sembilan peserta konvoi disaman polis Thailand di Hatyai baru-baru ini atas beberapa kesalahan melibatkan 12 saman bernilai kira-kira 12,000 baht.

Dia menyatakan ketidakpuasan hati apabila mendakwa ada yang disaman kerana ekzos bising, sedangkan ekzos motosikal tersebut adalah standard kilang.

Selain itu, ada juga yang disaman didakwa disebabkan kerana tidak membawa lesen memandu fizikal yang mempunyai gambar wajah, tidak membawa geran dan insurans kerana tertinggal di bilik hotel serta memasang lampu berkelip.

Tok Singa mendakwa mereka akur dengan undang-undang Thailand, namun tindakan pihak berkuasa negara itu seolah-olah menyasarkan penunggang motosikal dari Malaysia untuk ditahan dengan mereka sendiri terpaksa melalui pemeriksaan semua motosikal selama kira-kira tiga jam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |