Menang RM1 juta, pesara mahu melancong ke Switzerland

5 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Seorang pesara yang menerima durian runtuh RM1 juta selepas memenangi Cabutan Jutawan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat berhasrat menggunakan sebahagian wang kemenangan itu untuk melancong ke Switzerland.

Aziz Mohamed, 68, dari Kajang, Selangor berkata, kemenangan tersebut sememangnya di luar jangkaan kerana tujuan asal dia menyertai Rizq Plus hanyalah untuk menabung.

“Ini semua rezeki Allah SWT, bukan saya. Saya cuma masuk duit dekat Bank Rakyat dengan harapan menabung, tapi saya tak ada niat pun nak menang.

“Kalau nak menang pun, saya pilih yang RM10,000, RM20,000 itu. Tapi Allah SWT kurniakan saya RM1 juta. Jadi saya syukur alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Raikan Ganjaran #UntukSemua di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, hari ini.

Aziz berkata, antara perkara yang ingin dilakukannya selepas menerima wang kemenangan itu adalah melancong ke luar negara, khususnya Switzerland.

“Saya dah buat haji, saya dah buat umrah banyak kali dah. Jadi kalau sihat badan, nak pergi melancong pula,” ujarnya.

Katanya lagi, wang kemenangan itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan separuh daripadanya disimpan melalui Bank Rakyat, manakala bakinya akan digunakan untuk pelaburan.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, lebih 250,000 rakyat Malaysia kini memilih Akaun Pelaburan-i Rizq Plus dengan jumlah pelaburan melebihi RM1 bilion.

Menurutnya, Rizq Plus yang boleh dimulakan dengan pelaburan serendah RM100 merupakan instrumen pelaburan patuh Syariah yang membantu pelanggan membentuk tabiat kewangan lebih sihat.

“Sejak produk itu diperkenalkan pada 2022, seramai lima jutawan telah dilahirkan,” katanya.

Beliau berkata, Cabutan Jutawan Rizq Plus seterusnya pada Oktober 2026 menawarkan hadiah RM1 juta kepada seorang lagi bakal jutawan.

Dalam majlis sama, Bank Rakyat turut meraikan pemenang Cabutan Anggota bernilai RM100,000, Cabutan Bulanan RM20,000 serta pemenang Kempen Suara Hati 2026.

Bagi Kempen Suara Hati 2026, Awang Ahmad Khadar Awang Zainal, 40, dari Mukah, Sarawak muncul pemenang dan berjaya merealisasikan impiannya untuk memiliki Toyota Fortuner.

Empat lagi pemenang menerima hadiah wafer emas seberat 50 gram, 30 gram dan 20 gram serta kelengkapan rumah bernilai RM10,000.

Seramai 65 pemenang sagu hati pula menerima RM500 setiap seorang yang dikreditkan ke Akaun Pelaburan-i Rizq Plus. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |