PETALING JAYA – Kecanggihan mesin pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak menjamin kawalan keselamatan berkesan sekiranya penguat kuasa yang mengendalikannya tidak mempunyai integriti.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kelemahan dalam mengendalikan sistem keselamatan boleh menyebabkan individu atau barangan berisiko terlepas daripada pemeriksaan.
“Kalau kita ada peralatan atau mesin scanner (pengimbas) yang paling canggih pun, tapi kalau orang yang mengendalikan tiada integriti, (masih boleh terlepas). Sebab itu saya berbalik kepada isu integriti,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu seorang juruterbang tempatan yang dilaporkan melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA sebelum ditahan di Indonesia kerana menyeludup dadah, sebelum ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kejadian itu tidak seharusnya dilihat sebagai kes terpencil kerana kelemahan dalam pemeriksaan boleh menyebabkan perkara sama berulang.
“Saya yakin mungkin banyak dah terlepas. Dia (perlu) melalui banyak security check (pemeriksaan keselamatan), tapi boleh terlepas.
“Mungkin kriminal (sindiket) besar ini ada penglibatan (pihak) dalam yang melepaskan dia atau (penguat kuasa) tak periksa betul-betul,” katanya.
Menurut Ayob Khan, kelemahan pengendalian mesin pengimbas juga perlu diberi perhatian kerana terdapat pemeriksaan yang mungkin tidak dilakukan secara teliti.
“Awak pergi ligat kita punya mesin pengimbas di KLIA yang kita nak berlepas. Adakah yang memeriksa itu dia duduk tengok betul-betul ataupun sambil duduk (main telefon), dia tak tengok pun.
“Saya tak kata semua. Ada kes-kes yang saya tengok, saya tegur. Kenapa dia tak tengok dalam mesin pengimbas itu?” ujarnya.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, kedudukan Malaysia yang dikelilingi laluan perairan strategik seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka tidak seharusnya menyebabkan aspek kawalan sempadan dipandang ringan.
Tambahnya, kawalan sempadan yang berkesan memerlukan gabungan aset, teknologi, integriti dan penyeliaan yang kukuh, bukannya bergantung kepada penempatan anggota keselamatan semata-mata. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4













































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)


