Pendakwaan rayu pembebasan Zizie Izette tiga pertuduhan subahat rasuah

5 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Pendakwaan telah mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan subahat rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Pendakwa Raya yang bertindak selaku perayu memfailkan notis rayuan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Julai lalu.

Berdasarkan notis rayuan itu, menyatakan Pendakwa Raya selaku perayu tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen pada 20 Julai lalu yang melepaskan dan membebaskan Zizie Izette di akhir kes pembelaan.

Zizie Izette yang dinamakan selaku responden dibebaskan daripada tiga tuduhan pindaan terbabit di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sehubungan itu Pendakwa Raya merayu terhadap keputusan terbabit dan memohon di bawah seksyen 307(5) Kanun Tatacara Jenayah, salinan nota keterangan dan alasan penghakiman.

Prosiding pengurusan kes berkenaan ditetapkan esok di Mahkamah Tinggi.

Pada 20 Julai lalu, Zizie Izette dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan tersebut.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas pihak pembelaan Zizie Izette, 48, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang didakwa terhadap selebriti itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Rosli berkata berdasarkan otoriti adalah jelas menunjukkan bahawa satu daripada elemen kesalahan subahat yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan adalah pembuktian kesalahan prinsipal iaitu si mati (Bung Moktar) telah memperoleh rasuah iaitu satu kesalahan di bawah perenggan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Rosli, justeru daripada perintah pelepasan dan pembebasan tersebut telah menyebabkan elemen pembuktian kesalahan subahat terhadap tertuduh (Zizie Izette) iaitu pesalah prinsipal dan juga si mati telah melakukan kesalahan rasuah telah terjejas.

Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.

Zizie Izette dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.

Bagi pertuduhan ketiga, wanita juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Zizie Izette didakwa melakukan semua kesalahan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,

Jika sabit kesalahan, pelakon itu berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |