Xpats Gateway singkatkan tempoh kelulusan permohonan ekspatriat kepada 10 hari

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Proses pengambilan tenaga kerja asing dan permohonan pekerjaan di negara ini kini lebih telus dan cekap menerusi penyatuan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan MYFutureJobs ke dalam satu platform digital iaitu Xpats Gateway.

Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong berkata, langkah integrasi itu membolehkan majikan dan pemohon menjejak status permohonan ekspatriat secara terus selain mengurangkan risiko penipuan.

“Sebelum ini, apabila ketiga-tiga sistem tidak disambungkan, wujud ruang manipulasi. Contohnya, pemohon boleh mendakwa telah lulus MYFutureJobs walhal belum lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar taklimat media berhubung integrasi sistem ePPAx yang dikawalselia oleh Jabatan Tenaga Kerja serta MYFutureJobs yang ditadbir oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke dalam Xpats Gateway di sini, hari ini.

Menurut Steven Sim, integrasi itu juga menghapuskan keperluan untuk berurusan secara berasingan menerusi tiga sistem kerajaan, memudahkan pelabur dan majikan yang kini hanya perlu menggunakan satu gerbang sehenti yang lebih automatik dan efisien.

Katanya, majikan yang berdaftar di bawah sistem ESD Online boleh mengurangkan input data berulang sehingga 70 peratus.

“Tempoh kelulusan juga dipendekkan kepada hanya 10 hari bekerja bagi setiap agensi yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pembukaan Pusat Satelit Ekspatriat (ESC) di KLIA Terminal 1 dan 2, yang membolehkan ekspatriat memulakan kerja sebaik sahaja tiba di Malaysia.

“Kalau dahulu perlu tunggu berminggu selepas urusan hotel dan dokumen, kini mereka boleh terus keluar dari lapangan terbang dan mula bekerja pada hari yang sama,” ujarnya.

Langkah itu, katanya, dijangka menjimatkan masa dan kos sehingga RM500 juta setahun kepada pihak industri.

Sebelum ini, majikan perlu melalui pelbagai sistem seperti ePPAx (Jabatan Tenaga Kerja), MYFutureJobs (Perkeso), Xpats Gateway dan ESD Online secara berasingan, menyebabkan kelewatan dan kekeliruan.

Kini, katanya menerusi kerjasama erat antara Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan TalentCorp, semua urusan disatukan dalam satu platform digital yang menyeluruh.

Steven turut mendedahkan bahawa inisiatif pendigitalan oleh Kementeriannya menjadi antara faktor utama peningkatan kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking, naik dari tangga ke-34 ke tangga ke-23 dunia.

“Pada awalnya saya sendiri teragak-agak untuk umumkan kerana peningkatannya sangat ketara. Namun selepas disahkan oleh MPC, ternyata sistem Xpats Gateway adalah penyumbang besar kepada kejayaan ini,” katanya. –  KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |