[VIDEO] Waktu itu, kalau diberi duit atau air, akak pilih air – Jaslinda

16 hours ago 8

PETALING JAYA – Selepas dua minggu bertarung nyawa di dalam hutan Gunung Batu Putih, Tapah, Perak, pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, mengakui antara perkara paling dihargainya sepanjang tempoh itu ialah seteguk air bagi menghilangkan dahaga.

Menerusi satu rakaman video dikongsikan seorang pemilik spa yang dikunjungi Jaslinda baru-baru ini, ibu kepada dua orang anak itu menceritakan bagaimana dia sanggup memilih air berbanding wang ringgit ketika berdepan situasi getir untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Sebenarnya kita fikir anak je, fikir nak hidup je. Tapi kalau waktu itu antara duit dengan air, akak pilih air. Dia punya haus itu, ya Allah…jangan cakaplah. Ini nikmat kedua yang akak rasa paling besar,” katanya.

Menurut Jaslinda, setiap kali hujan turun ketika dia berada di dalam hutan, dia akan menunggu dengan penuh harapan kerana hujan menjadi sumber air yang amat dinantikan.

“Akak kalau hujan begini, masa dekat dalam hutan memang tunggu gila. Tunggu sebab nak air. Ya akak tadah ni, hujan semua ada. (Keadaan) memang sejuk,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dia turut mencari kawasan panas untuk memanaskan badan selepas berdepan cuaca lembap dan sejuk di dalam hutan.

“Sampai di Bukit Berapit, akak berjemur sebab memang nak panas. Badan dah terlalu lama dalam keadaan sejuk. Muka terbakar ini sebab berjemurlah,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Jaslinda turut mendedahkan buku lali kanannya patah selepas terjatuh ke dalam sungai pada hari kedua kehilangan, namun tetap meneruskan perjalanan demi mencari jalan keluar.

“Buku lali patah sebab jatuh sungai masa hari kedua, lepas itu jalan dengan keadaan macam itu. Alhamdulillah, ok je masih boleh bergerak,” katanya.

Perkongsian itu mengundang sebak dalam kalangan orang ramai yang mengikuti perkembangan kehilangan wanita berkenaan sebelum ini.

Dalam masa yang sama, ramai juga ternanti-nanti Jaslinda menceritakan pengalaman penuhnya selama dia sesat di dalam hutan jika sudah kembali sembuh dan bertenaga.

“Baru dengar beberapa saat dah rasa seronok gila dengar pengalaman kak Jaslinda. Harap kak Jas boleh ceritakan penuh dalam mana-mana podcast nanti,” kata Yunus.

“Harap nanti ada mana-mana ‘podcast’ panggil Kak Jas. Tak sabar nak dengar cerita Kak Jas,” komen Tika pula.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Jaslinda yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu ditemukan selamat pada 6 Jun di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Kehilangannya selama dua minggu itu bukan sahaja menggemparkan negara, malah dianggap luar biasa apabila berjaya ditemui hidup selepas bertahan dalam hutan dengan kecederaan pada kaki dan bekalan yang sangat terhad. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |