PETALING JAYA – Sedar diri bukan dalam kelompok ‘power vocal’, penyanyi Nabila Razali memilih karaoke sebagai ruang untuk melepaskan geram, bereksperimen dengan lagu bernada tinggi serta bermain teknik vokal kompleks tanpa dibelenggu tekanan pentas sebenar.
Ujar Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 34, karaoke menjadi ‘pentas peribadi’ buat dirinya kerana di situ dia bebas mencuba lagu daripada rakan-rakan industri, termasuk karya penyanyi memiliki kekuatan vokal luar biasa.
“Saya sedar kemampuan saya di mana. Saya pergi karaoke sebab itu tempat untuk melepaskan tekanan dan geram. Ada lagu saya tidak boleh (mampu) nyanyikan di atas pentas, jadi karaoke menjadi pentas saya.
“Karaoke tempat untuk menjerit, berangan dan rasa macam sedang menyanyi di Anugerah Juara Lagu (AJL). Lagu yang saya nyanyikan di karaoke pun banyak daripada kawan-kawan seperti Nadeera, Ernie dan ramai lagi.
“Kalau lagu lama pula, saya boleh nyanyi lagu Ziana Zain dan Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya kepada Kosmo! Online.
Paling penting kata pelantun lagu Pematah Hati itu, dia boleh menyanyi dalam karaoke tanpa tekanan dan tidak dihakimi sesiapapun.
“Semua lagu tu memang tidak lah saya nyanyi di atas pentas. Malah, kalau nak menyanyikan semula sebagai lagu saduran pun akan fikir banyak kali.
“Paling penting, tiada orang menghakimi dan tiada tekanan. Kalau nyanyi dengan kawan-kawan pun mereka tidak boleh hendak menghakimi sebab suara kami pun lebih kurang sama,” ujarnya.
Sebelum ini, seorang netizen meluahkan rasa ingin tahu sama ada penyanyi dengan julat vokal tidak terlalu besar seperti Nabila kurang berani mengambil risiko membawakan lagu mencabar dan kompleks.
Persoalan tersebut kemudian menjadi buah mulut dalam kalangan netizen, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai sejauh mana kemampuan vokalnya untuk keluar daripada zon selesa dan meneroka karya lebih mencabar. – KOSMO! ONLINE.

5 hours ago
5






![[VIDEO] Siapa kata Klang panas semalam, hari ini sudah ribut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-08-at-2.41.15-PM.jpeg)









































