PETALING JAYA – Seorang lelaki tampil menjelaskan tindakannya duduk di lantai sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas gambarnya tular di media sosial bersama dakwaan kononnya perbuatannya menyebabkan penumpang wanita berasa kurang selesa.
Hantaran asal di Threads mendakwa lelaki berkenaan duduk di lantai tren sambil melihat ke kiri dan kanan sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan beberapa penumpang wanita.
Pemilik hantaran itu turut mendakwa lelaki berkenaan hanya menganggukkan kepala apabila ditegur dan membuat andaian bahawa dia mungkin tidak memahami bahasa yang digunakan.
Bagaimanapun, lelaki yang mendakwa dirinya individu dalam gambar tersebut kemudian tampil di ruangan komen bagi menjelaskan situasi sebenar.
“Wah, aku tular. Bila masa hang cakap dengan aku? Kau tak nampak ke aku pakai fon telinga? Kau nak aku duduk dekat kerusi ke dengan baju seluar tengah basah peluh sebab baru habis lari?,” katanya sambil memuat naik tangkap layar rekod aktiviti larian.
Dalam hantaran susulan, lelaki itu mengakui tidak mengetahui sama ada terdapat peraturan melarang penumpang duduk di lantai tren kerana jarang menggunakan LRT.
“Pertama sekali, saya memang tak tahu pun ada ‘law’ (undang-undang) yang mengatakan tak boleh duduk kat lantai tu sebab saya jarang naik LRT. Pergi kerja naik moto,” katanya.
Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial mempertikaikan tindakan merakam dan memuat naik gambar individu berkenaan tanpa mengetahui keadaan sebenar.
“Bang buat laporan bang. Makin menjadi pula trend ambil gambar sesuka hati. Ini dah kira fitnah,” komen seorang pengguna.
Seorang lagi berkata, individu yang tidak berpuas hati sepatutnya menegur secara terus terlebih dahulu berbanding memuat naik gambar ke media sosial.
“Makin melampau perangai orang ambil gambar di tempat awam ini untuk isu yang tak penting pun. Dia tak puas hati boleh sahaja tegur adik itu juga. Nak juga bawa ke media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5






![[VIDEO] Siapa kata Klang panas semalam, hari ini sudah ribut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-08-at-2.41.15-PM.jpeg)









































