‘Saya beri tempoh 24 jam padam gambar isteri saya’

5 hours ago 5

PETALING JAYA – Seorang lelaki mendakwa isterinya menjadi mangsa kecaman selepas gambar wanita itu menyusukan bayi dirakam sebelum dimuat naik di media sosial tanpa kebenaran.

Lelaki yang menggunakan akaun bernama Amir Nafif mendakwa, gambar isterinya tular selepas dikongsi beberapa akaun media sosial yang mempersoalkan tindakan wanita itu menyusukan bayi di tempat awam.

Menerusi hantaran di Threads, Amir memberi tempoh 24 jam kepada individu terbabit untuk memadam hantaran berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Salam, orang yang awak tularkan itu isteri saya. Saya minta awak padam sekarang. Kalau awak tak padam dalam masa 24 jam, saya teruskan untuk buat laporan polis,” tegasnya.

Amir dalam hantaran susulan mendakwa dia sudah memperoleh maklumat mengenai salah satu akaun yang dipercayai terlibat menyebarkan gambar isterinya.

Dia turut menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.

“Terima kasih sebab bagi sokongan. Tadi ada yang bagi ID pengguna TikTok, jadi senang saya nak teruskan saman. Jangan ketar tangan ya sebab kejap sahaja saya ‘detect’ alamat awak,” dakwanya.

Berdasarkan tangkap layar dikongsikan, antara hantaran yang tular mendakwa seorang wanita menegur ibu berkenaan kerana menyusukan bayi di tempat awam.

Bagaimanapun, tindakan memuat naik gambar itu mengundang reaksi pengguna media sosial dengan sebahagian besar mereka mempertahankan wanita tersebut dan menyifatkan penyusuan bayi sebagai perkara biasa terutama apabila anak lapar.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial berkata, tiada sebarang kesalahan dikesan terhadap wanita tersebut menyusukan anak walaupun berada di tempat awam.

“Adakah kita mahu membiarkan bayi menangis dan lapar hanya kerana berada di tempat awam? Buat laporan, saya sokong,” cadang Farisya.

Seorang lagi pengguna yang juga ibu pula memaklumkan tidak semua tempat menyediakan ruang khas untuk ibu menyusukan bayi.

“Saya salah seorang ibu yang menyusukan anak. Bagi saya tidak salah menyusukan bayi selagi tertutup. Bayi kalau hendak menyusu, tidak kira waktu. Kadang-kadang satu-satu tempat itu tidak menyediakan tempat khas untuk ibu menyusukan bayi,” kata Vie. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |