[VIDEO] Perginya belahan jiwa abah

5 hours ago 2

PETALING JAYA – Seorang suami melalui detik pilu apabila terpaksa membimbing isterinya melafazkan dua kalimah syahadah sebelum insan tersayangnya itu menghembuskan nafas terakhir.

Perkongsian oleh Miss Atique di TikTok menunjukkan saat-saat akhir ibunya ditemani suami tercinta yang setia di sisi hingga ke hujung nyawa.

“Saat abah lafaz syahadah kepada belahan jiwanya. Kasih abah yang tidak bertepi,” katanya menerusi klip tersebut.

Menurut Atique, ibu bapanya sangat rapat dan sering meluangkan masa bersama dan melakukan pelbagai aktiviti berdua.

“Selalu setiap pagi sebelum subuh, abah akan siapkan Ma (ibu) untuk solat ke surau pula bagi imamkan orang lain.

“Selepas itu, abah akan solekkan ma (ibu) untuk keluar meronda, food hunting (mencari makanan) makan pagi,” ujarnya.

Menerusi ruangan komen, kebanyakan orang ramai tersentuh dengan video berkenaan dan mengagumi kesetiaan sang suami.

“Indahnya alam rumah tangga jika saling jujur setia, saling melengkapi dan menghormati. Manisnya terasa hilang hujung nyawa. Semoga roh ibu awak berada di kalangan orang beriman,” komen Sharifah Osman.

“Allahu, syahdu melihatnya. Harapnya di hujung nyawa saya nanti, adalah suami atau anak saya di sisi untuk lafazkan syahadah macam ini juga. Sungguh rasa singkat sahaja hidup ini dipinjamkan tuhan,” balas Nurul Hana.

Sementara itu, rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman masing-masing melalui saat perpisahan bersama insan tersayang.

“Teringat ajar mak lafazkan syahadah sebelum dia ditidurkan. Cakap dekat mak, kalau mak dengar mak ikut ye. Namun Allah lebih menyayanginya selepas tujuh jam mak berjaya dirawat,” kata Ramarama.

“Abah saya tidur di sebelah umi (ibu) waktu malaikat maut menjemput umi tapi abah tidak sedar dan tidak tahu sebab umi pergi tanpa sakit yang tenat.

“Abah bangun untuk bersedia solat subuh, kejutkan umi tapi dia sudah tidak bergerak. Sehingga saat umi dikafankan, abah usaha duduk sambil ucapkan bahawa dia halalkan dan reda akan semuanya,” ujar Naadh. – KOSMO! ONLINE

@miss.allerednic_atiqueKasih abah yang tak bertepi. Sehingga akhir nafas abah bisikkan syahadah pada ma. Sungguh rindu pada ma…

♬ Tiada Pengganti – BitoBeyto

Read Entire Article
Pertanian | | | |