PM Thai minta maaf

6 hours ago 2

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra meminta maaf berhubung perbualan telefon yang bocor antara beliau dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen yang mencetuskan kemarahan meluas dan meletakkan kerajaannya  di ambang keruntuhan.

“Saya ingin meminta maaf berhubung perbualan telefon yang bocor antara saya dan pemimpin Kemboja sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai,” kata Paetongtarn kepada pemberita.

Kerajaan campuran diketuai parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn Shinawatra berada di ambang keruntuhan berikutan  ketidakstabilan politik baharu ketika Thailand berusaha merangsang ekonominya yang lembab dan mengelak tarif Presiden Donald Trump.

Parti konservatif, Parti Bhumjaithai yang merupakan sekutu utama  Pheu Thai, menarik diri daripada kerajaan campuran semalam kerana menuduh tingkah laku Paetongtarn dalam perbualan telefon berkenaan mencemarkan imej negara dan maruah tentera.

Kehilangan 69 Ahli Parlimen Bhumjaithai menyaksikan Paetongtarn tidak cukup undi untuk memperoleh majoriti di Parlimen. Krisis politik terbaru itu mencetuskan risiko pilihan raya mengejut diadakan,  hanya dua tahun selepas pilihan raya umum pada Mei 2023.

Dua parti gabungan lain, Parti United Thai Nation dan Parti Demokrat akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan situasi itu lewat hari ini.

Kehilangan mana-mana satu parti politik itu berkemungkinan menamatkan kerajaan campuran Thailand Paetongtarn dengan sama ada pilihan raya mengejut diadakan, atau parti-parti politik lain membentuk kerajaan gabungan baharu.

Parti Palang Pracharath yang mengetuai kerajaan sehingga 2023 dan diketuai oleh Jeneral Prawit Wongsuwan menyeru Paetongtarn meletak jawatan.

Palang Pracharath menyebut bahawa rakaman yang bocor itu menunjukkan Paetongtarn lemah dan tidak berpengalaman serta tidak mampu menguruskan keselamatan negara.

“Ia membuktikan Thailand mempunyai seorang pemimpin yang akan membawa negara ke dalam situasi yang buruk dan lemah,” kata kenyataan itu.

Dalam panggilan telefon yang bocor itu, Paetongtarn didengari membincangkan pertikaian sempadan yang berterusan dengan Hun Sen. Beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri Kemboja pada 2023 selepas empat dekad tetapi masih mempunyai pengaruh yang besar.

Paetongtarn memanggil pemimpin veteran itu ‘pakcik’ dan merujuk kepada komander tentera di timur Thailand sebagai lawannya. Kenyataan itu mencetuskan kritikan hebat di media sosial, terutamanya di laman web Pheu Thai dan halaman Tentera Diraja Thailand.

Paetongtarn, 38, mula berkuasa pada Ogos 2024 sebagai pemimpin kerajaan campuran antara Pheu Thai dan kumpulan parti politik  pro tentera.

 Angkatan bersenjata Thailand telah lama memainkan peranan penting dalam politik kerajaan, dan ahli-ahli politik biasanya berhati-hati untuk tidak memusuhi mereka.

Kerajaan Thailand mengalami kira-kira 12 rampasan kuasa sejak berakhirnya monarki mutlak pada 1932. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |