LAGU Langit Ketujuh berjaya melonjakkan nama penyanyi Sharifah Zarina sejak dilancarkan 20 tahun yang lalu.
Sehingga kini, lagu ciptaan komposer terkenal, Azmeer itu masih menjadi siulan ramai dan malar segar.
Di sebalik kejayaan, ironinya mahakarya tersebut ibarat sumpahan buat penyanyi asal Bumi Kenyalang itu apabila lagu-lagu lain nyanyiannya yang hadir selepas Langit Ketujuh sukar diterima peminat.
Biarpun mempunyai banyak lagi lagu lain, penyanyi berusia 44 tahun itu mengakui tidak dapat lari daripada dilabelkan sebagai penyanyi ‘one hit wonder’.
Sukar mendapatkan lagu yang setanding Langit Ketujuh, kata Zarina pelbagai usaha dilakukan namun gagal.
“Lagu Langit Ketujuh sangat popular. Malah populariti lagu tersebut berterusan selama beberapa tahun.
“Ramai yang tidak tahu lagu tersebut adalah lagu terakhir yang dirakam dalam album sulung saya.
“Sebenarnya lagu-lagu untuk album saya sudah siap dirakam. Kemudian abang Azmeer (komposer) hubungi saya minta saya datang ke studio untuk rakam sebuah lagi lagu. Katanya dia baru dapat ilham.
“Pada mulanya saya membantah tajuk lagu tersebut kerana berasakan tidak sesuai kerana langit ketujuh adalah tempat syurga tertinggi.
“Tetapi abang Azmeer tetap dengan pendiriannya. Tak sangka akhirnya lagu tersebut yang meletup berbanding lagu lain,” katanya.

Sembunyikan status kahwin
Sewaktu muncul dengan album pertama, penyanyi yang bakatnya dicungkil melalui pertandingan Bintang RTM 1999 itu terpaksa merahsiakan statusnya sebagai isteri orang dan ibu beranak satu.
Kata Zarina, perkara tersebut terjadi disebabkan situasi dan penerimaan peminat pada waktu awal kemunculannya tidak terlalu terbuka seperti sekarang.
“Setahun juga saya ambil masa untuk rahsiakan status. Tetapi lama-kelamaan ramai yang dapat hidu, terutamanya bila saya keluar bersama anak iaitu Athalia yang ketika itu baru berusia setahun.
“Makin lama, orang makin mengenali saya. Ramai yang mula tegur bila saya keluar. Bila mereka tanya siapa Athalia, saya terpaksa kata dia anak saudara.
“Tetapi selepas itu saya rasa bersalah bila lihat wajah Athalia dan akhirnya membuat keputusan untuk mendedahkan status sebenar,” kongsinya.
Perjalanan Zarina dalam industri muzik ibarat tenggelam timbul. Sekejap dia muncul, sekejap kembali menyepi.
Akhirnya, dia kini dilihat aktif semula dengan pelbagai projek termasuklah berlakon dan menyertai rancangan Talk To My Manager bersama anaknya, Athalia.
Jelas Zarina, ada sebab kukuh yang menjadi asbab tenggelamnya dia dari radar seni satu ketika dahulu. Dia percaya, perjalanan hidup dan seni susunan Tuhan buat dirinya tersusun cantik.
“Ketika berada di puncak populariti, tiba-tiba saya hamil. Selepas melahirkan, saya hamil lagi dalam masa singkat. Semua itu membuatkan saya terpaksa berehat sekejap daripada nyanyian demi fokus kepada keluarga.
“Ketika itu saya rasa mungkin karier saya akan berkubur buat selama-lamanya. Saya berehat selama lima tahun sebelum menyertai Gegar Vaganza musim pertama pada tahun 2014.
“Waktu itu saya rasa peluang untuk buat ‘comeback’ bersama Gegar Vaganza akan membuahkan hasil, namun tidak memberi impak. Karier saya kembali menyepi. Sehinggalah tahun 2023 barulah saya rasa betul-betul buat ‘comeback’ apabila dihujani pelbagai tawaran,” kongsinya.

– M. FIRDAUS M. JOHARI
Seronok jadi pelakon
Lebih 20 tahun menjadi penyanyi, tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan mendapat tawaran dalam bidang lakonan. Sewaktu dihubungi pihak produksi Tanah Beris, Zarina berulang kali bertanya kerana takut mereka tersalah orang.
“Saya tanya betul ke? Sebab saya penyanyi bukan pelakon. Mereka kata ya mereka memang mahukan saya.
“Pada mulanya takut juga saya. Nak baca skrip pun saya tak pandai.
“Hari pertama di set saya menangis dalam bilik air kerana tak boleh berikan yang terbaik. Baru saya tahu betapa susahnya menjadi pelakon.
“Tetapi lama-kelamaan barulah saya berjaya mengadaptasi diri dengan suasana baharu sebagai pelakon,” ujarnya.
Selepas drama Dua Darjat, satu persatu tawaran lakonan mula hadir kepadanya. Dia tidak menyangka akan terpilih membintangi drama Thariq Ridzuwan arahan Eyra Rahman di samping Meerqeen.
“Dalam Thariq Ridzuwan, saya jadi ibu Meerqeen, rasa macam tak percaya.
“Mungkin inilah doa saya ketika mengerjakan umrah dahulu yang telah diangkat. Ketika itu saya berdoa supaya diberikan rezeki dalam seni walau daripada apa cara sekalipun. Tak sangka lakonan menjadi rezeki saya,” jelasnya.
Tahun ini juga Zarina dan suami menerima rezeki menjadi tetamu Allah mengerjakan ibadah rukun Islam kelima iaitu ibadah haji.
Dia sama sekali tidak menyangka akan terpilih tahun ini memandangkan pada tahun lalu namanya tidak tersenarai.
“Saya merancang tunai haji pada tahun lalu bersama sahabat baik. Saya gigih cari ejen dan sebagainya. Tiba-tiba nama kawan-kawan saya semua lepas kecuali saya.
“Waktu itu saya sedih sangat dan terfikir apalah dosa saya sehingga tidak terpilih. Rupa-rupanya Allah nak jemput saya tahun ini untuk pergi bersama kakak saya sendiri yang baru dapat lesen membawa orang mengerjakan haji.
“Sebelum ini dia membawa orang pergi umrah menerusi agensinya,” kongsinya.
Jika sesetengah selebriti lain mungkin mahu memperlahankan aktiviti seni selepas bergelar hajah, tetapi bagi Zarina bidang seni adalah punca rezeki yang akan diteruskan selagi terdaya.
“Saya tak ada kerja lain. Kalau orang lain mungkin kerja di pejabat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Dunia seni adalah pejabat saya.
“Ketika mengerjakan haji saya selalu berdoa supaya Allah aturlah hidup saya seperti mana yang dikehendaki-Nya. Saya serahkan segalanya kepada Allah.
“Saya juga berdoa agar Allah mengambil nyawa saya di Tanah Suci kerana itu impian ramai umat Islam untuk meninggal dunia di sana.
“Tetapi ternyata perkara itu belum terjadi,” katanya sambil menguntum senyuman.
