BATU PAHAT – Seorang ibu tunggal yang sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menipu sebanyak RM44,206 berhubung pakej pelancongan ke Eropah dan Beijing yang tidak wujud.
Tertuduh, Low Siew Hua, 49, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebelum Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga ibu kepada tiga anak menjalani penjara tambahan lima bulan jika gagal membayar denda bagaimanapun tertuduh gagal membayarnya.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu seorang lelaki dengan menawarkan pakej pelancongan ke Beijing selama seminggu bernilai RM5,776.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Taman Flora Utama, di sini pada pukul 8.35 pagi, 15 Februari lalu.
Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa menipu mangsa lelaki untuk pakej percutian ke Eropah menyebabkan mangsa kerugian RM38,430 dengan perbuatan itu dilakukan di Taman Bukit Perdana di sini, pukul 8.35 pagi, 16 November tahun lalu.
Kedua-dua kesalahan ini dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua mangsa tertarik dengan tawaran dibuat tertuduh yang menggunakan nama sebuah syarikat pelancongan yang didaftarkan atas nama anak tertuduh.
Tanpa berfikir panjang, kedua-dua mangsa tertarik dengan tawaran itu lalu membuat bayaran ke dalam akaun bank atas nama tertuduh.
Tapi malangnya, mangsa tidak menerima apa yang dijanjikan sebaliknya usaha menghubungi tertuduh gagal.
Siasatan juga mendapati nombor telefon digunakan untuk urusan penipuan didaftarkan atas nama salah seorang anaknya.
Selain itu, tertuduh turut memiliki beberapa lagi kes sama di Kluang dan Pontian serta Johor Bahru.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.-KOSMO! ONLINE