PUTRAJAYA – Lebih 2,069 tan metrik sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dengan anggaran nilai RM11.6 juta disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu operasi bersepadu di seluruh negara.
JAS dalam kenyataan memaklumkan, operasi Op Hazard yang dijalankan serentak selama dua hari pada 16 Jun lalu itu melibatkan pemeriksaan ke atas 69 premis dengan 21 premis daripadanya beroperasi secara haram.
Menurutnya, sejumlah tujuh premis berlesen di bawah JAS manakala 29 premis lagi adalah barang lusuh.
“Sebanyak 24 premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), melibatkan mesin-mesin pengeluaran yang digunakan tanpa sebarang alat kawalan pencemaran.
“Selain itu, 59 Notis Arahan di bawah seksyen 31 dan 37 di bawah Akta 127 ke atas 40 premis dan 18 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” katanya hari ini.
JAS berkata, kertas siasatan akan dibuka ke atas 25 premis bagi tindakan penyiasatan pelbagai kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Akta 127
“Sebarang aktiviti pengurusan buangan terjadual, termasuk e-waste, yang dijalankan tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang.
“Mengikut pindaan terkini Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, pesalah boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM10 juta dan penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.
Op Hazard dilaksanakan sebagai langkah membanteras kegiatan haram berkaitan pengurusan e-waste, yang dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada pencemaran alam sekitar.
Jelas JAS, kegiatan penstoran dan pemprosesan e-waste tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menyebabkan pelepasan bahan pencemar berbahaya ke udara, air dan tanah, sekali gus memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia dan kelestarian ekosistem.
“Kebanyakan premis haram ini dikesan beroperasi di lokasi terpencil dan di luar kawasan industri yang diluluskan.
“Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan kawalan dan pemantauan, malah menimbulkan risiko keselamatan kepada pegawai penguat kuasa serta meningkatkan potensi pencemaran alam sekitar,” katanya. – KOSMO! ONLINE