PETALING JAYA – Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) bakal disiasat First Instance Body (FIB) sekiranya berlaku pengisytiharan tidak tepat ketika melakukan permohonan lesen kebangsaan.
Selain itu, Unit Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga akan memantau pematuhan KDN FC terhadap pelan ansuran pembayaran tunggakan gaji.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, berkata keputusan memberikan lesen kepada KDN FC dibuat mengikut Artikel F.04 di bawah Kriteria Kewangan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024–2025.
“FIB menerusi Unit Pelesenan Kelab MFL telah membuat semakan dengan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan mengesahkan bahawa KDN FC tidak memiliki tunggakan gaji bagi pasukan utama Liga Super KDN FC setakat 31 Disember 2024.
“Bagaimanapun KDN FC telah mengemukakan dokumen sokongan mengenai pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun menerusi surat persetujuan bersama yang telah ditandatangani semua pemain terlibat.
“Dokumen sokongan ini jelas memenuhi keperluan seperti yang ditetapkan dalam Artikel F.04 namun Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus memantau secara berterusan pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun ini.
“Berhubung tunggakan kepada agensi kerajaan, KDN FC telah mengemukakan surat permohonan pelan bayaran ansuran kepada pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan cop rasmi oleh kedua-dua agensi tersebut.
“Sebagai langkah susulan, pihak FIB telah mengarahkan Unit Pelesenan Kelab MFL untuk memantau pematuhan terhadap pelan ansuran melalui penghantaran bukti resit bayaran secara berkala sehingga keseluruhan tunggakan diselesaikan.
“FIB ingin menegaskan bahawa jika terdapat sebarang isu berhubung semua penyerahan atau sebarang pengisytiharan yang tidak tepat kepada CLA MFL bagi tujuan memperoleh lesen untuk musim 2025-2026, siasatan boleh dimulakan terhadap perkara tersebut,” katanya.
Sebelum ini, wujud persoalan dikalangan bekas pemain bagaimana KDN FC berjaya mendapatkan lesen sedangkan kelab itu masih lagi berdepan isu tunggakan gaji.
Terdahulu, KDN FC bersama Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC diberikan lesen kebangsaan penuh oleh FIB Pelesenan Kelab MFL, sekali gus sah akan bersaing dalam Liga Super musim depan. – KOSMO! ONLINE