ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar memberi jaminan pembangunan ekonomi dan teknologi Malaysia akan dibuat bersandarkan kepada nilai dan teras budaya masyarakat Malaysia.
Beliau memberi komitmen tersebut ketika berucap menutup Forum Nikkei Medini Johor yang diadakan di Sunway Bigbox, di sini hari ini.
Menurut beliau, Malaysia tidak akan lari daripada prinsip itu ketika seluruh dunia sedang mengalami transformasi kepada pendigitalan melibatkan pelbagai bidang teknologi.
“Pembangunan pesat di Malaysia dan Johor adalah untuk rakyat, bermakna ada elemen kemanusiaan yang perlu diambil kira termasuklah aspek kesejahteraan hidup, pendidikan, kesihatan dan teknologi.
“Terdapat keperluan untuk menggesa generasi sekarang menumpukan kepada pelbagai disiplin baharu. Benar kita akan ketinggalan jika tidak mengadaptasi teknologi serta kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan, tetapi perlu perlu berasaskan nilai moral, budaya dan bahasa tempatan,” katanya.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.
Sementara itu, Anwar memuji pelaksanakan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini telah mendapat tumpuan pelbagai pemimpin dari seluruh dunia.
“Malahan ketika pertemuan saya dengan Perdana Menteri Jepun baru-baru ini, beliau juga membangkitkan soal JS-SEZ apabila bercakap tentang Malaysia, bukan hanya Putrajaya sahaja.
“Bukan sahaja Jepun, JS-SEZ juga telah menarik minat pelabur China, Korea Selatan dan juga negara-negara Eropah. Ini kerana zon ekonomi ini melibatkan kerjasama baik antara dua negara yang mahu melihat keduanya terima manfaat.
“Kredit harus diberikan kepada agensi kerajaan pusat, kerajaan negeri Johor dan juga kepada Singapura kerana komited tinggi diberikan dalam menjayakan inisiatif ini,” jelasnya.
Forum Nikkei Medini Johor yang berlangsung selama dua hari dan bertemakan ‘Menerajui Hab Inovasi Asia’ menghimpunkan seramai lebih 800 peserta dan delegasi secara kehadiran fizikal mahupun dalam talian.-KOSMO! ONLINE