SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung pemakaian fatwa yang tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan, atau institusi sebaliknya hanya terpakai kepada individu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dalam kenyataannya berkata, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.
“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Sultan Sharafuddin selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.
“Ini supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, MAIS menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan ini namun tidak bersependapat dengan sebahagian daripada keputusan tersebut khususnya yang memutuskan bahawa fatwa bertarikh 31 Julai 2014 hanya terpakai kepada individu.
Tegasnya, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut secara tidak langsung telah mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak.
“MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab.
“(Ini termasuk) untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.
“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya.
Mengulas lanjut, kata beliau, MAIS bersetuju dan menyokong penuh pendekatan penghakiman bertentangan daripada Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang menyatakan bahawa bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berhubung dengan fatwa ini adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan kepada pendekatan hal perkara.
“Beliau (Abu Bakar) juga menyatakan walaupun dalam kes ini syarikat yang terlibat bukan merupakan “orang sebenar” atau “natural person” yang boleh menganut agama Islam, namun syarikat ini adalah tertakluk kepada fatwa.
“Ini berdasarkan kepada nama SIS iaitu “Sisters in Islam” yang jelas menunjukkan identiti Islam serta aktiviti syarikat ini yang mengeluarkan penerbitan dan kenyataan tentang hal-hal berkaitan agama Islam selain fakta bahawa pengasas dan pengarah syarikat berkaitan adalah terdiri dari kalangan orang Islam,” ujarnya.
Salehuddin menambah, MAIS memberi jaminan bahawa pihaknya bersama-sama dengan badan penguatkuasa agama di Negeri Selangor akan sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam ini dapat dibanteras.
“Masyarakat Islam dinasihatkan untuk tidak terlibat atau memberikan sokongan terhadap apa-apa program yang berkaitan dengan fahaman yang telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam termasuk fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
“MAIS akan memberikan komitmen untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri serta sokongan institusi Raja bagi tujuan memperkasa perundangan sedia ada demi memartabatkan kedudukan agama Islam selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 iaitu ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalism dan pluralism agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’ adalah sah.
Bagaimanapun, panel empat hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan, fatwa itu tidak terpakai kepada Sisters In Islam (Sis) Forum (Malaysia) sebagai sebuah pertubuhan atau syarikat.
Dalam keputusan majoriti 3-1 itu, tiga lagi hakim yang turut bersidang adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Abu Bakar. – KOSMO! ONLINE