Op Hazard 2.0: 453 ditahan, nilai rampasan lebih RM504 juta

5 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Sebanyak 453 individu termasuk 392 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Hazard 2.0 yang dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara pada 16 Jun lalu, membabitkan serbuan ke atas 57 premis di sembilan negeri.

Operasi itu melibatkan kekuatan keseluruhan seramai 1,582 pegawai dan anggota, termasuk 1,089 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 493 lagi daripada lebih 12 agensi penguatkuasaan lain, menjadikannya antara operasi terbesar yang pernah dilaksanakan setakat ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi bersepadu itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa membanteras pelanggaran undang-undang, sekali gus menyokong agenda reformasi pentadbiran yang digariskan kerajaan.

“Kita telah serbu premis di seluruh negara merangkumi Kedah (6), Pulau Pinang (4), Perak (5), Selangor (16), Kelantan (2), Johor (5), Terengganu (1), Sarawak (6) dan Kuala Lumpur (12).

“Sebanyak 453 individu ditahan daripada 916 pemeriksaan, membabitkan 382 lelaki, 70 wanita dan seorang kanak-kanak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, di sini hari ini.

Menurut Azmi, daripada jumlah tangkapan tersebut, 392 adalah PATI, manakala 41 warga tempatan dan 20 lagi warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan lain.

Serbuan itu turut melibatkan agensi antaranya Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Kesihatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Tambah Azmi, menerusi operasi itu juga, pihak berkuasa berjaya merampas pelbagai barangan termasuk bahan lusuh, komponen logam, barangan mentah dan terproses dengan nilai anggaran semasa berjumlah RM504 juta.

Katanya, jumlah rampasan itu dijangka meningkat selepas penilaian lanjut oleh pihak berkaitan.

“Kita juga mendapat maklumat daripada LHDN yang mengesahkan bahawa cukai tidak dibayar oleh beberapa syarikat terlibat dalam operasi ini boleh mencecah sehingga RM500 juta. Ini menunjukkan wujudnya unsur ketirisan hasil kerajaan yang amat besar,” katanya.

Sepanjang operasi dijalankan Januari 2024, PDRM telah menjalankan 167 serbuan, dengan 1,061 tangkapan dan nilai rampasan melebihi RM5 bilion, hasil penguatkuasaan ke atas pelbagai sindiket. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |