Pembunuh upahan pamer keberanian diri

6 hours ago 4

PETALING JAYA – Insiden tembakan di ibu negara, baru-baru ini dipercayai bukan sekadar pembunuhan terancang, sebaliknya menjadi testimoni kepada perkhidmatan pembunuh upahan (hitman) yang kini semakin berani mempamerkan keupayaan mereka di khalayak ramai.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, modus operandi digunakan menunjukkan terdapat usaha menonjolkan keupayaan penjenayah dalam menyasarkan mangsa tertentu.

“Ia bukan sekadar jenayah, tetapi juga strategi pengiklanan. Apabila seseorang berjaya membunuh sasaran secara tepat, ia jadi bukti kecekapan mereka dan membuka peluang kepada pihak lain untuk mengupah mereka pula selepas itu.

“Inilah bahaya sebenar. Jika kumpulan ini tidak ditumpaskan segera, mereka akan terus bergerak bebas dan menjadi lebih berani,” katanya kepada Kosmo!, semalam.

Dua insiden tembakan yang menjadi perhatian berlaku di sebuah restoran di Brickfields minggu lalu, diikuti satu kes berhampiran pusat beli-belah di Cheras pada Isnin.

Menurut Kamal, kedua-dua insiden tersebut menunjukkan ciri-ciri pembunuhan terancang kerana sasaran dikenal pasti terlebih dahulu, lokasi dipilih memudahkan suspek melarikan diri dan masa serangan turut diatur mengikut keberadaan mangsa.

“Kita lihat mangsa adalah individu tertentu dan bukan orang awam secara rambang. Mereka telah diperhatikan terlebih dahulu. Ini menunjukkan elemen ‘operasi’ atau OP oleh si pelaku,” jelasnya.

Tambahnya, tidak mustahil kedua-dua kes itu berpunca daripada konflik lama, urusan perniagaan atau unsur dendam melibatkan kegiatan jenayah lain seperti penyeludupan.

Mengulas kesan terhadap keselamatan awam, Kamal mengakui bahawa insiden seumpama itu boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Namun, tegasnya, penting untuk melihat fakta bahawa tiada tembakan rambang atau mangsa dalam kalangan orang awam.

Menurutnya lagi, individu yang terlibat dalam kegiatan seperti ini lazimnya tidak melakukan sendiri serangan, sebaliknya mengupah orang luar bagi memastikan jejak mereka sukar dikesan.

Sementara itu, Pakar Kriminologi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zalmizy Hussin, pola serangan yang dilakukan secara profesional, bersasar dan di tempat awam adalah petunjuk klasik kepada perebutan dominasi kawasan atau balas dendam antara kumpulan geng yang bersaing.

“Modus operandi ‘hit-and-run’ menggunakan senjata api dengan sasaran yang tepat, masa kejadian waktu malam serta pemilihan lokasi strategik seperti pusat beli-belah dan restoran merupakan taktik biasa dalam dunia gengsterisme.

“Ia juga berperanan sebagai isyarat simbolik atau ‘symbolic violence’, bagi menunjukkan kekuasaan kepada musuh dan ahli kumpulan sendiri.

“Keadaan ini menyerupai ‘perang kawasan’ atau turf war yang sering direkodkan dalam sejarah jenayah geng di Malaysia sejak era 1990-an,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |