[VIDEO] Hilang bayi, suami serentak selepas habis berpantang

4 hours ago 2

MELAKA – Seorang wanita berdepan detik paling memilukan dalam hidupnya apabila bukan sahaja kehilangan suami akibat serangan jantung tetapi bayi lelakinya berusia tiga bulan turut maut akibat tertindih lengan bapanya itu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Nurul Efendy Ibrahim, 35, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala bayi, Muhammad Nur Daniel Nurul Efendy, berada di bawah lengannya di kediaman di Kampung Perigi Hang Tuah, Duyong.

Adik kepada Nurul Efendy, Masturadiana Ibrahim, 33, berkata, tragedi itu berlaku ketika kakak iparnya, Azura Abdul Malik, 37, baru kembali bekerja hari ini selepas cuti bersalin selama tiga bulan.

Katanya, Azura kemudian pulang ke rumahnya sebentar kerana ingin membawa bayinya ke Klinik Kesihatan bagi mendapatkan suntikan imunisasi.

“Kakak ada hubungi arwah abang tapi tak berjawab jadi dia bergegas pulang ke rumah kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Dia ketuk pintu rumah berkali-kali tapi tiada sahutan, akhirnya dia panjat masuk dari tingkap belakang dan nampak abang terbaring tidak sedarkan diri atas katil dengan lengan menindih muka bayi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini, hari ini.

MASTURADIANA menunjukkan foto arwah abangnya bersama bayi ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, hari ini. – Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON

Tambahnya, dalam keadaan panik, Azura yang bekerja di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) datang ke rumahnya sambil menjerit meminta tolong dan memberitahu bayinya sudah tidak bergerak, manakala muka dan bibir menjadi kebiruan.

“Saya terus membawa bayi itu ke hospital dan hubungi ambulans untuk bawa abang tetapi kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia. Pemeriksaan awal mendapati abang mungkin sudah meninggal lebih sejam sebelum ditemukan.

“Anaknya pula dipercayai lemas akibat dihempap secara tidak sengaja,” katanya.

Ujarnya lagi, malam sebelum kejadian arwah abangnya ada mengadu mengalami sakit dada tetapi enggan ke klinik walaupun selepas dipujuk isterinya.

“Abang saya sihat sebelum ini dan tidak pernah buat pemeriksaan jantung, tak sangka, jadi begini,” katanya sebak.

Pasangan suami isteri itu mempunyai dua anak yang lain berusia 15 dan 16 tahun, dan Muhammad Nur Daniel merupakan anak bongsu mereka yang lahir selepas jarak usia lebih 15 tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |