‘Anak kami dah pulang, dia trauma’

6 hours ago 2

PETALING JAYA – Seorang bapa meluahkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak yang membantu menyelamatkan anaknya sewaktu menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja.

Hamidun Abdul Ahmad, 50, berkata, pada 11 Jun lalu dia telah menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bagi mendapatkan bantuan segera setelah mengetahui anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU), Muhammad Nurhaziq, 25, dipercayai menjadi mangsa eksploitasi di negara berkenaan.

“Saya telah membuat satu sidang media bagi merayu kepada pihak Kedutaan Malaysia yang berada di Kemboja untuk membantu membawa pulang anak saya ke pangkuan keluarga.

“Syukur kepada Allah, pada 17 Jun 2025 anak saya telah berjaya pulang ke tanah air dengan selamat, meskipun dalam keadaan trauma,” katanya dalam satu kenyataan,” katanya menerusi satu perkongsian video di TikTok Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim hari ini.

Hamidun turut merakamkan penghargaan khas kepada MHO yang bertungkus-lumus menjalankan misi kemanusiaan tersebut serta pihak media dan Kedutaan Malaysia di Kemboja kerana bertindak pantas dalam usaha menyelamatkan anaknya.

“Saya dan keluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membawa pulang anak saya. Bantuan dan usaha mereka amat kami hargai dan tidak akan dilupakan,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia berharap agar kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada orang ramai agar lebih berwaspada terhadap tawaran pekerjaan di luar negara yang berpontensi menjadi perangkap oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Muhammad Nurhazir yang disahkan sebagai OKU penglihatan dan mental merayu untuk diselamatkan selepas mendakwa dirinya dipaksa menjadi ‘scammer’ di Kemboja.

Pemuda itu dilaporkan telah dihantar ke negara itu tanpa pengetahuan keluarga selepas dimaklumkan bahawa dia akan menjalani projek kerja di Selangor. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |