Mayat lelaki terjun sungai dijumpai selepas hampir 40 jam hilang

4 hours ago 1

GUA MUSANG – Mayat seorang lelaki yang terjun ke dalam sungai akibat terkejut dengan kehadiran pihak polis ditemukan tersangkut pada ranting dahan kayu di dalam Sungai Aring 2 di sini hari ini selepas hampir 40 jam hilang.

Mangsa yang berusia 42 tahun dijumpai oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 12.20 tengah hari kira-kira satu kilometer dari lokasi lelaki itu dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, seramai 27 anggota telah memulakan operasi hari kedua pada pukul 9.05 pagi ini bersama lima aset yang berkaitan.

Katanya, pasukan SAR Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang tiba di kawasan sungai Felda Aring 2 kira-kira pukul 9.45 pagi.

“Anggota Pasukan Penyelamat Di Air Balai Bomba Gua Musang melakukan selaman sebelum menjumpai mayat seorang lelaki yang dipercayai hilang kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Mangsa dilaporkan terkejut dengan kehadiran pihak polis dan dipercayai bertindak terjun ke dalam Sungai Aring 2 di Felda Aring 2 di sini kira-kira pukul 7 malam kelmarin,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Choon Foo memberitahu, siasatan awal mendapati, anggota polis menjalankan tugasan Op Tapis dan telah pergi ke perumahan Felda Aring 2.

“Apabil sampai di kawasan tersebut, anggota telah melihat dua lelaki berada di tepi jalan perumahan tersebut sebelum mereka melarikan diri.

“Anggota polis telah mengejar kedua-dua lelaki tersebut dan mereka telah hilang daripada pandangan. Selepas itu, anggota telah membuat pemeriksaan di kawasan sekitar dan mengesyaki seorang lelaki telah terjun ke dalam sungai berhampiran,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan gara-gara terkejut dengan kehadiran pihak polis, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai bertindak terjun ke dalam Sungai Aring 2 di Felda Aring 2 di sini kelmarin.

Mangsa yang berusia 42 tahun dilaporkan telah melarikan diri sebelum terjun ke dalam sungai tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |