JITRA – Taktik licik sindiket pengedaran dadah dari negara jiran dengan menggunakan kereta diubah suai terbongkar apabila polis memberkas dua transporter dalam dua serbuan berasingan di sempadan negeri ini pada Ahad lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, operasi pada 15 Jun itu berjaya merampas kira-kira 120.46 kilogram (kg) heroin base dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 2.37 kg dengan keseluruhan bernilai RM10.8 juta.
Katanya, jumlah dadah yang berjaya dirampas itu untuk dijual kepada kira-kira 7.8 juta penduduk.
“Serbuan pertama kira-kira pukul 5.40 petang, sepasukan pegawai JSJN menahan sebuah kereta jenis Honda Accord dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan 160 bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan mampat disyaki heroin base seberat 59.20 kg di dalam ruang khas di bahagian belakang tempat duduk penumpang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini hari ini.
Beliau berkata, pada hari sama pukul 5.55 petang, polis menahan sebuah lagi kereta Honda Accord dipandu seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di sebuah stesen minyak berhampiran Lebuh Raya Utara-Selatan di Bukit Kayu Hitam.
“Kita menemukan 155 bungkusan heroin base seberat 61.26 kg serta 35 peket serbuk disyaki MDMA seberat 2.37 kg, juga disembunyikan di dalam ruang khas tempat duduk belakang yang diubah suai,” ujarnya.
“Rampasan ini adalah yang terbesar di utara tanah air bagi tahun ini,” katanya.
Jelasnya, suspek yang juga penganggur dipercayai menerima upah sebanyak RM20,000 untuk membawa dadah berkenaan dari negara jiran. – KOSMO! ONLINE