PENGARAH teknikal kem terjun negara, Yeoh Ken Nee menegaskan hanya penerjun yang berjaya melepasi standard Skor Kelayakan Minimum (MQS) sahaja akan disenaraikan ke Kejohanan Dunia di Singapura, meskipun berstatus atlet senior.
Menurutnya, pemilihan kali ini lebih ketat kerana setiap atlet perlu membuktikan kemampuan melalui prestasi konsisten dalam pertandingan, bukan sekadar pengalaman semata-mata.
“Kita tak hantar atlet yang tak capai MQS. Sekarang semuanya berdasarkan data. Kalau mereka tak lepas skor kelayakan, kita tak boleh justifikasi pada MSN,” katanya ketika sidang media di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Ken Nee turut mendedahkan seramai tujuh penerjun telah disenarai pendek ke Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung bulan depan, hasil pencapaian konsisten dalam acara individu dan seirama.
Bagi kategori wanita, Pandelela Rinong dan Yap Ching akan beraksi dalam acara 10 meter (m) platform individu dan seirama, manakala lima penerjun lelaki yang terpilih ialah Elvis Priestley, Enrique Maccartney, Yong Wei Jek, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Syafiq Puteh.
Sementara itu, Ken Nee turut menyatakan skuad terjun negara masih meletakkan sasaran pingat di Sukan SEA 2025 meskipun tuan rumah kali ini hanya menawarkan empat acara sahaja berbanding 11 sebelum ini.
“MSN tetap letak sasaran empat emas. Tapi, tuan rumah hanya tawarkan acara yang mereka kuat, jadi kita perlu fokus pada acara utama seperti papan anjal satu meter dan tiga meter,” katanya.
Dia turut memberi bayangan terdapat beberapa penerjun pelapis akan diberi peluang dalam saingan Sukan SEA kali ini sebagai persediaan jangka panjang ke arah Sukan Asia dan Olimpik.
“Kalau mereka tak berjaya sekarang pun, bukan penamat. Kita nak mereka bina pengalaman ke kejohanan lebih besar. Yang penting mereka konsisten dan capai KPI ditetapkan.
“Kalau atlet baru seperti Elvis tunjuk konsistensi melepasi MQS lima hingga enam kali, maka itu layak untuk dihantar ke peringkat dunia,” katanya.
Kejohanan Dunia kali ini bukan sahaja medan memburu pingat, tetapi juga platform penilaian terakhir sebelum menyusun semula barisan utama menjelang kemuncak temasya Sukan SEA dan Komanwel akan datang. – KOSMO! ONLINE