ARAU – Sepasang suami isteri direman selama enam hari selepas dipercayai mendera anak perempuan mereka berusia 11 tahun di sebuah rumah di sini sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis kira-kira pukul 1.22 pagi tadi.
“JKM dimaklumkan oleh orang awam mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal oleh ibu bapa kandungnya sendiri.
“Bertindak atas maklumat itu, pegawai pelindung JKM telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berada dalam keadaan mencurigakan sebelum dibawa ke Rumah Kanak-Kanak Arau untuk perlindungan sementara,” katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati penderaan dipercayai bermula sejak 2023 dan kali terakhir mangsa dipukul pada Rabu lalu kira-kira pukul 12.30 tengah hari menggunakan rotan.
“Pemeriksaan kesihatan ke atas mangsa yang dilakukan oleh Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mendapati terdapat kesan lebam dan luka pada kepala, bibir, dada, rusuk, badan, lengan serta betis.
“Terdapat kesan kecederaan lama dan baharu yang disyaki akibat hentakan objek tumpul dan simbahan air panas,” ujarnya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut dilakukan oleh Unit Pediatrik HTF bagi memastikan keadaan kesihatan mangsa dipantau rapi dan rawatan susulan diberikan.
Tambahnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kedua-dua suspek iaitu ibu dan bapa kandung mangsa telah ditahan.
“Permohonan reman ke atas pasangan suami isteri itu telah diluluskan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE