500 pemancing bakal ‘berentap’ di Tasik Pandan Perdana Ahad ini

4 hours ago 4

AMPANG – Kira-kira 500 kaki pancing dijangka memenuhi Tasik Pandan Perdana di Ampang Jaya Ahad ini bagi menyahut Cabaran Joran Ampang Jaya 2025.

Pertandingan memancing yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM10,000 ini bukan sahaja menjadi medan pemancing beradu nasib, malah turut mengangkat potensi tasik berkenaan sebagai produk pelancongan rekreasi setempat.

Juara bakal membawa pulang wang tunai RM4,000, naib juara RM1,000, tempat ketiga RM700, tempat ke-empat hingga ke-70 menerima RM70 setiap seorang. Yuran penyertaan ialah RM40 untuk sebatang joran.

Pendaftaran awal turut diberi keistimewaan apabila sebanyak 400 helai baju-T eksklusif disediakan kepada peserta terawal yang mendaftar.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari berkata, pertandingan itu dianjurkan bersama MPAJ, Jawatankuasa Penduduk MPAJ dan Airfour Classic serta disokong oleh Tourism Malaysia selaras dengan usaha mempromosikan lokasi-lokasi rekreasi bandar sebagai tarikan pelancongan domestik.

“Kita mahu tonjolkan Tasik Pandan Perdana sebagai destinasi riadah dan pelancongan komuniti yang sesuai untuk seisi keluarga, selain menyokong inisiatif Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha kelestarian ekosistem tasik, sebanyak dua spesies ikan iaitu lampan sungai dan baung dilepaskan ke dalam tasik dalam satu majlis pelepasan yang disempurnakan Hasrolnizam.

Langkah itu juga bertujuan menambah sumber ikan dan memperkayakan biodiversiti tasik yang telah ditutup kepada aktiviti memancing selama lebih lapan bulan.

Tasik tersebut kini dihuni pelbagai spesies ikan termasuk tilapia, patin, belida, toman, haruan, keli, ketutu dan ikan bandar raya yang akan dipertandingkan secara konsep ‘sapu bersih’, membolehkan semua spesies layak dinilai.

Kaunter pendaftaran akan dibuka pada Sabtu ini (3 petang hingga 7 malam) dan Ahad (6.30 pagi hingga 10 pagi) di lokasi pertandingan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian 013-2661077 dan 012-3554946. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |