PETALING JAYA – Tindakan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam yang diparkir sesuka hati di selekoh laluan kenderaan berat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban mencetuskan kemarahan ramai, selepas tular satu video menunjukkan sebuah lori sukar untuk melepasi laluan berkenaan.
Menerusi rakaman video di TikTok milik @Kunta_kintir, kelihatan pemandu lori terbabit terpaksa membunyikan hon beberapa kali sebelum pemilik kereta tersebut muncul berjalan perlahan.
“Bila pasangan bercinta yang memandu, terasa dunia ni dia orang yang punya. Kita bagai nak rak hon, dia datang berlenggang sambil pegang-pegang tangan.
“Kita memandu ini bukan setakat pakai lesen je, otak pun kena pakai juga,” tulis pemilik video di ruangan kapsyen.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyusahkan lori, malah turut menyebabkan kesesakan apabila kenderaan lain di belakang turut tidak dapat bergerak keluar dari kawasan tersebut.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata netizen mengecam tindakan pemilik kereta berkenaan yang disifatkan mementingkan diri.
“Nasib baik abang jenis penyabar… kalau saya, jalan je kalau dah tunggu lama sangat… saya baran abang,” kata Nina.
“Tahniah owner (pemandu lori), lebih memilih sabar dari khianat. Semoga Allah tinggikan darjat,” komen Amsyar.
“Saya paling takut nak parkir dekat-dekat dengan kenderaan besar ni. Tapi apa fikiran mereka ya? Nanti langgar kata pemandu tak nampak. Aduhai pentingkan diri sendiri betul mereka ni,” ujar seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE
@kuntakintir30370297 Bila pasangan bercinta yg memandu terasa dunia ni diorang yg punye,kite bagai nak rak horn dia dtg berlenggang sambil pegang2 tangan…Kite memandu ni bukan setakat pakai lesen je,otak pun kena pakai jugak… #kawasanrehat&rawat seremban#arahselatan#pemanduproblem ♬ bunyi asal – legenda rock otai