Video layanan buruk Israel, peserta GSF 2.0 dibebas tanpa syarat

4 hours ago 2

SEPANG – Layanan buruk tentera Israel ke atas peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang dipaparkan menerusi video dimuat naik Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir semalam berjaya membuka mata dunia terhadap kekejaman rejim itu.

Difahamkan, penyebaran video itu menjadi titik tolak penting kepada pembebasan tanpa syarat diberikan tentera Israel kepada kesemua 428 peserta GSF 2.0, hari ini.

Lebih manis, kesemua aktivis itu berjaya dibebaskan tanpa perlu melangkah ke Penjara Ketziot di Israel.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, insiden penahanan dan penculikan itu telah memicu kemarahan dan kecaman antarabangsa.

Beliau berkata, kemarahan itu kemudian dizahirkan dalam bentuk kenyataan negara, saman dan aksi demonstrasi yang digerakkan di beberapa negara.

“Gerakan demonstrasi itu dilihat di Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia, Portugal.

“Malah, organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) turut mengecam tindakan pencerobohan dan penculikan terhadap aktivis itu.

“Jadi, kemarahan dunia itu saya lihat merebak begitu cepat sehinggakan mereka Israel menerima pelbagai kecaman, ugutan dan nota diplomatik yang mengecam insiden itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, gelombang kebangkitan dunia terhadap insiden ini bukan sekadar terhad kepada kecaman sahaja sebaliknya disusuli ancaman sekatan ekonomi dan diplomatik.

Sani Araby berkata, beliau melihat pembebasan aktivis kali ini akibat tekanan yang semakin meluas dan luar jangka, termasuk kesan terhadap reputasi serta tekanan langsung kepada rejim itu.

“Mengikut rancangan awal, kesemua aktivis itu akan ditahan dalam tempoh panjang di Penjara Ketziot.

“Bagaimanapun, akhirnya rancangan itu digugurkan dan semua tahanan dibebaskan tanpa syarat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |