PETALING JAYA – Seorang lelaki berkongsi detik cemas ketika menyelamatkan seorang penunggang motosikal yang terbabas sebelum tercampak dari Jambatan Pulau Pinang 1, pagi tadi.
Hairul Asri, 38, berkata ketika kejadian dirinya bersama empat lagi rakan sedang dalam perjalanan menaiki bot untuk pergi memancing.
Menurut Hairul, ketika bot menghampiri jambatan, mereka terdengar suara jeritan orang ramai sambil menunjukkan ke arah seorang lelaki yang timbul di permukaan laut.
“Kami dengar suara jeritan orang ramai dari tepi dan bawah jambatan. Dia orang jerit kata ada orang tercampak.
“Masa tu dari jauh kami nampak barang-barang mangsa dah bersepah. Ingat dah meninggal sebab jerit panggil tak menyahut.
“Bot kami pun bergerak dekat dan mendapati mangsa masih hidup serta minta tolong diselamatkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Hairul berkata, sukar untuk mengangkat pemuda berusia 20-an tersebut ke atas bot kerana keadaan laut bergelora serta kecederaan yang dialami mangsa di kaki.
“Bila nak bawa naik tu pun kami kena berhati-hati sebab keadaan air laut bergelora. Mangsa pun cakap ‘sakit, sakit’ dan bila tengok peha dia sudah membengkak,” katanya.
Terdahulu, video yang dimuat naik Hairul di akaun Facebooknya mendapat lebih 1.4 juta tontonan dan 5,400 perkongsian.
Di dalam video itu kelihatan Hairul yang memakai baju berwarna hitam dan rakan-rakannya cuba menyelamatkan mangsa yang sedang terapung.
Rata-rata pengguna di media sosial juga memuji tindakan berani mereka kerana menyelamatkan mangsa tersebut daripada lemas dibawa arus.
Bercerita lanjut, Hairul berkata, selepas dibawa naik, mangsa menjelaskan dirinya dalam perjalanan untuk ke tempat kerja dari Perai menuju ke George Town ketika kejadian.
Menurut mangsa, sebelum insiden tersebut, motosikal lelaki itu terbabas merempuh sebuah kereta dan melanggar penghadang sebelum dirinya tercampak ke dalam laut.
Hairul berkata, mangsa tersebut bernasib baik kerana masih sedar dan arus laut juga tidak kuat sebelum dapat diselamatkan orang ramai.
“Mangsa bernasib baik masih sedar. Kalau pengsan ke rasanya dah tenggelam dan orang awam tak perasan kejadian tersebut.
“Selepas itu, kami hantar mangsa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE