PETALING JAYA – Deretan bas ekspres yang terkandas dipercayai akibat kemalangan melibatkan sebuah treler di Gua Musang, Kelantan, pagi tadi mendapat perhatian orang ramai.
Menerusi perkongsian Shahrul di TikTok kelihatan sejumlah besar bas ekspres terhenti di sepanjang jalan susulan laluan terhalang oleh treler yang terbalik sekali gus menyebabkan bas-bas tersebut dalam perjalanan dari Lembah Klang ke Kota Bharu itu terpaksa berkampung.
“Semua bas laluan Lembah Klang menuju ke Kelantan terkandas di Gua Musang bermula pagi ini,” tulisnya pada ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Menurutnya, kenderaan kecil seperti kereta dan motosikal masih boleh melalui jalan berkenaan kerana terdapat ruang sempit yang cukup untuk dilalui, namun bas ekspres tidak dapat meneruskan perjalanan disebabkan saiznya yang besar.
Disebabkan tempoh menunggu yang terlalu lama, difahamkan beberapa buah bas mengambil keputusan untuk berpatah balik dan membawa penumpang ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran bagi menunggu jalan dibuka semula.
Tambahnya, ada pemandu bas yang memberitahu deretan bas yang kelihatan dalam video itu hanya sebahagian kecil sahaja, memandangkan perjalanan pada hari bekerja tidak seramai hujung minggu.
“Sebenarnya panjang lagi bas tersusun di depan dan belakang sana itu cuma sahaja yang tidak larat nak rakam. Rupanya pemandu bas kata ini sikit sahaja, kalau trip ‘weekend’ (hujung minggu) lagi banyak sebab ‘demand’ (permintaan) tinggi. Barangkali orang Kelantan ini ulang alik hari-hari kot ke Kuala Lumpur,” tambahnya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai terkejut dengan jumlah bas yang menuju ke Kelantan dan kagum dengan semangat perantau pulang ke kampung halaman.
“Rajinnya orang Kelantan balik kampung selalu, tengoklah berapa ramai yang keluar masuk hari-hari. Ramai betul yang mencari rezeki di luar Kelantan ye,” komen Nasma.
“Patutlah perniagaan pengangkutan awan ke Kelantan ini paling masyuk, tiket kapal terbang pun selalu laku keras kalau nak balik Kota Bharu,” kata Haha.
“Ramai betul rakyat Kelantan nak balik kampung walaupun bukan cuti panjang ye,” ujar Cik Aien87. -KOSMO! ONLINE
@drshahrul Semua bas express ke Kota Bharu dari Lembah Klang terkandas. #fyp #fypシ゚ #bas #accident #guamusangkelantan ♬ Balik Raya Kelate – Fadil Turbo & Ezeri Layang Puteh