PETALING JAYA – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Papagomo berikutan satu video fitnah yang tular di platform TikTok baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik di laman TikToknya, Dr. Asyraf menegaskan beliau akan menyaman individu berkenaan sebanyak RM1 juta kerana didakwa menyebarkan tuduhan tidak berasas berkaitan tender projek dan ibadah korban.
“Ini dah melampau, Papagomo. Jumpa awak di mahkamah! Saya akan saman RM1 juta. Ini fitnah yang merosakkan imej saya dan Mara,” katanya tegas.
Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menggunakan dana Mara untuk membeli lembu korban sempena Aidiladha.
“Saya ada agama. Tak ada satu sen pun saya ambil duit Mara.
Tapi untuk pengetahuan Papagomo, haritu ramai yang menyumbang untuk bersedekah kepada penduduk Gerik ,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut mempertahankan integriti pentadbiran Mara serta menegaskan tidak pernah campur tangan dalam sebarang proses mesyuarat tender.
“Saya hanya memastikan tata kelola yang betul. Walaupun pengerusi, saya tak terlibat pun dalam mesyuarat pemberian tender,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh netizen.
“Jangan bagi muka orang yang fitnah ‘daddy’ Mara tok” kata @Fuzzey Yusoff.
“Saman je pemfitnah tu,” komen @martrozi.
“Saya sokong YB,” ujar @din – KOSMO! ONLINE.
@drasyrafwajdi PAPAGOMO, SEE YOU IN COURT! “Dosa Fitnah lebih besar daripada Membunuh” (Al-Baqarah:191) Tular satu lagi siri fitnah oleh Papagomo atau nama sebenarnya Azri yang mendakwa kononnya saya mengagihkan tender makan dan projek-projek MRSM kepada Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan menggunakan duit MARA untuk beli lembu korban di Gerik. Astaghfirullah, sejak bila saya terlibat dengan tender makan MRSM? Seluruh Malaysia tahu, saya sendiri #Terjah ke MRSM termasuk Dewan-Dewan Selera untuk pecahkan kartel yang antara penyebab kualiti penyediaan makanan yang menurun demi memastikan kebajikan dan keselesaan buat anak-anak pelajar. Sebagai Pengerusi MARA, saya tiada kuasa bahkan tidak pernah terlibat dalam mana-mana mesyuarat tender perolehan MARA kerana tidak mempunyai kuasa eksekutif. Tetapi sebagai pengerusi, saya mengambil tanggungjawab bersama ahli-ahli Majlis MARA untuk perketatkan aspek tadbir-urus MARA bagi memastikan tiada ruang untuk salah guna kuasa berkaitan isu-isu tender seperti ini. Satu lagi FITNAH JAHAT beliau ialah lembu-lembu korban yang diagihkan kepada penduduk-penduduk Gerik adalah menggunakan duit MARA. Untuk pengetahuan semua, lembu-lembu itu semua adalah hasil sumbangan individu-individu dan sahabat-sahabat saya yang berniat korban untuk disumbangkan di Gerik dan Pasir Puteh Kelantan. TIDAK ADA SATU SEN PUN WANG MARA digunakan untuk membeli lembu-lembu korban seperti yang difitnah. Tuduhan ini amatlah melampau, mengaibkan dan menjejaskan reputasi saya. Kita jumpa di mahkamah. Saya akan saman RM1 juta. Budaya fitnah seperti ini tidak boleh dibiarkan. #SeeYouInCourt #TolakPolitikFitnah #FitnahPapagomo ♬ original sound – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki