SERDANG – Didi Group dan Vespa melancarkan model terbaharu iaitu Vespa Sprint Tech 2025 yang dilengkapi dengan teknologi canggih yang digabungkan secara harmoni dengan reka bentuk klasik.
Vespa mengekalkan warisan melalui ikon ikonik yang mendefinisikan jenama itu, sambil terus menerima inovasi dengan mengintegrasikan teknologi terkini.
Pengarah Urusan Didi Group, Goh Kian Sin berkata, Vespa Sprint Tech 2025 yang dilancarkan adalah sesuatu yang istimewa.
Menurutnya, ia lebih daripada sekadar nama dan Vespa Sprint Tech 2025 adalah simbol kebebasan, reka bentuk dan kepintaran.
“Kami sangat berhubung dengan budaya bermotosikal di Malaysia dan memahami bahawa menunggang motosikal bukan hanya sekadar pergerakan, ia adalah kehidupan kita.
“Model ini merupakan gabungan klasik bersama inovasi teknologi termaju,” katanya ketika berucap ketika merasmikan pelancaran Vespa Sprint Tech 2025 pada pameran Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) di Tapak Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) baru-baru ini.
Tambahnya, model baharu itu juga dilengkapi dengan rekaan aerodinamik yang dipertingkatkan.
Vespa Sprint Tech 2025 ini didatangkan dengan panel meter TFT baharu bersaiz 5 inci dan hadir dengan mod siang dan malam.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem navigasi yang merevolusikan pengalaman penunggang dengan kemudahan dan ketepatan yang lebih baik.
Selain itu, ia turut disertakan dengan sistem penghidup tanpa kunci (keyless) yang membolehkan penunggang menyimpan kunci di dalam poket semasa membuka kunci, mengunci dan menghidupkan skuter.
Dalam pada itu, Kian Sin berkata, Vespa Sprint Tech 2025 sesuai untuk ditunggang di dalam bandar ataupun melakukan perjalanan santai pada hujung minggu.
“Vespa ini memberikan gabungan prestasi, ketangkasan dan keselesaan yang sempurna,” jelasnya.
Vespa Sprint Tech 2025 ini didatangkan dengan dua pilihan warna hitam dan kelabu dengan kemasan hijau fluo ditawarkan pada harga RM22,900. – KOSMO! ONLINE