PUTRAJAYA- Polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kemungkinan Datin Seri Pamela Ling Yueh melarikan diri ke luar negara dengan menggunakan dokumen individu lain.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, rakaman percakapan anak-anak Pamela serta saksi juga akan diambil dalam tempoh terdekat.
Katanya, proses merakam percakapan itu sedang diatur oleh Polis Antarabangsa (Interpol).
“Ketika ini, pergerakan Pamela untuk keluar negara telah disekat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa mereka menjalankan siasatan terhadapnya.
“Setakat ini juga tiada suspek lain yang terlibat selain 27 orang saksi telah dirakam percakapan,” katanya hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung penemuan terbaru pasukan siasatan khas terhadap kes Pamela, katanya, semua proses itu masih dalam siasatan.
Sebelum ini, Pamela pernah dikeluarkan waran tangkap daripada Mahkamah Majistret Putrajaya ekoran gagal mematuhi perintah menghadiri pemeriksaan bagi tujuan melengkapkan siasatan SPRM pada 2 Disember lalu.
Menjelaskan kronologi itu, SPRM berkata, susulan itu, satu tindakan operasi bersama pihak Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) Singapura dilancarkan dan Pamela ditahan secara sah dan dibawa pulang ke Malaysia pada 8 Januari lalu.
“Pada 9 Januari, Pamela telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman.
“Permohonan reman telah dibenarkan selama tiga hari iaitu dari 9 sehingga 11 Januari 2025. Selepas tamat tempoh reman, beliau dilepaskan dengan ikat jamin SPRM,” katanya.
SPRM berkata, pada 9 April lalu, pihaknya meminta Pamela untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi meneruskan rakaman percakapan lanjutan maklumat baharu yang diperolehi oleh SPRM.
Bagaimanapun, Pamela gagal hadir pada hari tersebut dan peguamnya kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada hari sama. – KOSMO! ONLINE