KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuka kertas siasatan terhadap Islamic Redeemable Preference Shares (i-RPS) untuk diserahkan kepada Peguam Negara (AGC) bagi membawa dalang disyaki terlibat penipuan ke muka pengadilan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, desakan tersebut memandangkan kes berkenaan bukan kepentingan peribadi, sebaliknya ia untuk kepentingan awam lebih-lebih lagi melibatkan mangsa yang ramai.
Menurutnya, sehubungan itu seramai 232 mangsa terlibat yang menyertai pelaburan saham i-RPS tampil membuat aduan hari ini kepada SC membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM80 juta.
“Dengan membuka kertas siasatan ini, kita berharap pendakwaan boleh dibuat terhadap ‘mastermind’ atau dalang-dalang yang menyebabkan kerugian kepada mangsa.
“Nama bagus, ‘Islamik’ tetapi malangnya syarikat yang menawarkan pelaburan saham ini, kami syaki ia palsu. Pelabur juga mengesyaki ditipu dan telah membuat laporan polis,” katanya kepada media di luar pekarangan bangunan SC di sini hari ini.
Beliau mendakwa, syarikat pelabur tersebut dikatakan telah memberikan maklumat mengelirukan kepada pelabur yang mana mereka didakwa telah menyerahkan dokumen Information Memorandum kepada SC.
“Masalahnya pelabur yang melabur ini telah faham dan mereka anggap, pelaburan telah diluluskan SC.
“Ia sepatutnya hanya sah untuk pelabur profesional yang melabur dengan jumlah besar, bukannya pelabur awam yang hanya menyumbang antara RM50,000 hingga RM100,000,” katanya.
Beliau berkata, pelabur tertarik untuk menyertai skim itu apabila tawaran pembayaran dividen diberikan syarikat sangat besar, ditambah kehadiran individu terkemuka dan berpengaruh memegang jawatan dalam syarikat tersebut.
Katanya, punca utama kemelut permasalahan berlaku apabila pihak syarikat gagal membuat pembayaran dividen sepertimana dijanjikan kepada mangsa-mangsa sebelum menyertai i-RPS.
Pada 5 Mei lalu, ahli perniagaan dan juga suami kepada selebriti Heliza Hashim, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman menyangkal dakwaan bahawa beliau bukan pengendali skim penipuan pelaburan yang dikaitkan dengan sebuah syarikat.
Mahadi dipetik berkata, peranan beliau hanyalah sebagai wakil memperkenalkan peluang pelaburan berdasarkan maklumat serta jaminan yang diberikan oleh pihak syarikat terlibat dan turut mendedahkan beliau sendiri pernah melabur lebih RM20.7 juta dalam dua entiti berkenaan antara tahun 2021 hingga 2023. – KOSMO! ONLINE